Militan Sulu rancang serang Sabah Februari 2022, lapor SCMP

Satu mesyuarat sulit bagi membincangkan rancangan menghantar militan bersenjata menyerang Sabah, dipercayai telah diadakan oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan di selatan Filipina, sumber kanan keselamatan wilayah itu memberitahu This Week In Asia.

Mesyuarat yang diadakan pada 1 Disember itu dikendalikan oleh seorang pegawai tempatan wilayah Sulu, yang mengumpulkan 19 datuk bandar Kepulauan Sulu bagi membincangkan rancangan menubuhkan “Tentera Diraja Sulu” dengan sasaran merekrut sehingga 600 anggota untuk menyerang Sabah, lapor South China Morning Post (SCMP) yang memetik sumber.

“Potensi rancangan untuk menyerang Sabah menjadi kenyataan bergantung kepada berapa banyak sokongan politik dan dana yang boleh diperoleh daripada pelbagai pihak.

“Banyak pihak berkepentingan di Filipina dan luar negara sanggup mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan politik dan strategik masing-masing,” kata sumber itu seperti dilapor SCMP.

Sumber itu berkata Februari 2022 dilihat sebagai waktu terbaik untuk melakukan serangan sebagai ‘memperingati’ pencerobohan ke atas Sabah lapan tahun lalu oleh pejuang Sulu.

“Kegagalan waris Kesultanan Sulu mendapatkan persetujuan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan hak milik ke atas Sabah mendorong pelaksanaan rancangan ini,” kata sumber itu.

Pada Februari 2013 Sabah dikejutkan dengan pencerobohan oleh lebih 200 pengikut Jamalul Kiram III yang mengaku Sultan Sulu, namun akhirnya gagal.

Pencerobohan itu diketuai oleh abang Jamalul Kiram, Agbimuddin Kiram, yang datang untuk menuntut hak nenek moyang mereka ke atas Sabah.

Malaysia bertindak balas dengan menghantar tentera dan melancarkan serangan udara sebelum pertempuran berakhir. Konflik yang berlarutan lebih sebulan itu mengakibatkan kematian 68 pengikut Jamalul Kiram, sembilan anggota tentera Malaysia dan enam orang awam.

Menurut SCMP, daripada 19 datuk bandar yang menghadiri mesyuarat rahsia itu, 11 bersetuju dengan rancangan berkenaan manakala selebihnya berada ‘di atas pagar’ – tidak bersetuju mahupun menolaknya.

“Setiap Datuk Bandar dijangka menyediakan 50 individu yang mahir dan berani dalam pertempuran. Kos peluru dan logistik lain perlu ditanggung oleh pegawai tinggi yang turut berjanji menyumbang 500,000 peso (AS$10,000) untuk membina 100 bot laju yang akan digunakan untuk menyerang Sabah,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, mengikut perancangan, pegawai tempatan itu dipercayai telah membekalkan 500 senjata api kepada wakil tempatan di Sulu yang kemudiannya akan mengagih-agihkannya.

Sumber itu berkata 150 hingga 200 pengintip dari Sulu dijangka dihantar ke Lahad Datu dan Semporna – dua bandar pantai utama Sabah di mana pasukan penceroboh mungkin mendarat. Dalam pencerobohan 2013, mereka mendarat di Lahad Datu.

“Semua militan Sulu yang memasuki perairan Lahad Datu dan Semporna akan membawa bersama senjata api (mengikut plot), dan akan ditanam di kawasan tertentu sebelum digunakan untuk menyerang kawasan sasaran,” lapor SCMP memetik sumber itu.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keamanan, Keganasan dan Pengganas Filipina, Rommel Banlaoi berkata Pasukan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara mempunyai kira-kira 20 hingga 30 anggota tetap perkhidmatan bersenjata.

Bagaimanapun, ia mampu menggerakkan sehingga 500 militan bersenjata Tausug sebagai pengganda kuasa”, kata Banloai, merujuk kepada kumpulan etnik dominan Sulu, yang sentiasa berhasrat untuk menyerang Sabah.

“Hasrat itu tidak akan hilang kerana semua orang di Sulu telah menyebarkan naratif kepada generasi muda bahawa Sabah adalah milik Kesultanan Sulu,” kata Banlaoi.

Profesor Pengajian Asia Tenggara di Kolej Perang Nasional berpangkalan di Washington, Zachary Abuza meletakkan kekuatan Pasukan Keselamatan Diraja Sulu sehingga 235 orang ketika pencerobohan 2013.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka adalah lelaki yang kurang terlatih, bersenjata ringan, dan taksub di bawah pengaruh individu yang mengaku sultan.

“Jamalul Kiram meninggal dunia pada 2013. Anak perempuannya terus membuat tuntutan ke atas Sabah, walaupun tidak jelas sama ada dia mempunyai penyokong bersenjata atau sumber untuk meningkatkan kekuatan,” kata Abuza.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte pula terus menuntut Sabah sebagai wilayah berdaulat Filipina.

Pada 2016, Duterte yang berikrar untuk meneruskan tuntutan negara itu ke atas Sabah, berkata beliau mengiktiraf tuntutan Kesultanan Sulu, yang pernah memerintah beberapa bahagian di selatan Filipina dan Sabah, sebelum kerajaan British memindahkan Sabah kepada Persekutuan Malaysia pada 1963.

Pada 2019, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jnr mengesahkan semula tuntutan Filipina ke atas Sabah semasa taklimat belanjawan Kongres negara itu.

Kita tidak akan mempunyai kedutaan di Sabah. Malah memikirkannya adalah satu tindakan pengkhianatan,” kata Locsin Jnr kepada jawatankuasa peruntukan Dewan.

Tausug yang mempunyai tuntutan lama ke atas Sabah, yang mereka dakwa telah dirampas oleh British daripada kerajaan mereka. Sabah telah diserahkan kepada British oleh bekas kuasa kolonial, Sepanyol, dalam protokol Madrid pada tahun 1885.

Malaysia sentiasa menolak dakwaan Filipina atas alasan bahawa penduduk Sabah telah menggunakan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri apabila mereka mengundi untuk menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963. – SCMP

Sementara itu, kerajaan memandang serius laporan berita berkenaan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

“Apa pun benda ini tidak lagi dapat disahihkan berita tersebut… jadi saya tidak dapat memberi ulasan apapa-apa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR