Militan: Polis Indonesia kawal ketat gereja ketika Krismas

Hampir 180,000 anggota polis Idonesia (Polri) dikerah melakukan kawalan ketat di semua gereja di negara itu pada sambutan Krismas 25 Disember ini bagi mengelak kejadian tidak diingini, khususnya serngan pengganas.

Semua gereja akan dibuka sepanjang tempoh Krismas bagi membolehkan penganut Kristian menghadiri upacara keagamaan, walaupun terdapat ancaman yang ditimbulkan oleh varian baharu Covid-19, Omicron, dan kemungkinan serangan oleh pelampau.

Indonesia mempunyai lebih daripada 11,000 gereja Protestan dan Katolik, menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama negara itu.

Sejak beberapa minggu lalu, puluhan pelampau, termasuk mereka yang disyaki anggota Jemaah Islamiyah (JI), ditahan di seluruh negara.

Pihak berkuasa negara itu berkata mereka tidak mahu melihat berulangnya serangan pengganas di berpuluh-puluh gereja di Sumatera, Jawa dan Nusa Tenggara Barat seperti yang berlaku pada malam Krismas tahun 2000, membunuh 18 orang dan mencederakan ramai yang lain.

Sejumlah besar anggota polis juga ditempatkan di gereja yang pernah diserang sebelum ini, termasuk Gereja Katolik Santa Maria dan dua gereja Protestan di Surabaya, Jawa Timur, yang menjadi sasaran pengebom berani mati yang membunuh 19 orang pada Mei 2018.

Polis juga akan mengawal ketat 31 gereja, termasuk Katedral Sacred Heart of Jesus di Makassar di Sulawesi Selatan, yang diserang tahun ini.

“Kami akan mengerahkan 177,212 anggota polis ketika Krismas tahun ini,” kata Penolong ketua Operasi Polri, Imam Sugianto sambil menjelaskan anggota polis juga akan mengawal pusat beli-belah dan lokasi pelancongan.

Katanya, polis akan dibentu anggota tentera dalam operasi yang dikenali sebagai ‘Operation Candle’ mulai 24 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR