Metro Manila catat 11,563 daripada 17,220 kes baharu di Filipina

Ibu kota Filipina, Manila, hari ini menyaksikan rekod baharu peningkatan jangkitan Covid-19, apabila varian Omicron yang paling pantas menular dalam kalangan varian virus itu, terus merebak walaupun kerajaan mengenakan sekatan baharu bagi membendungnya.

Kementerian Kesihatan Filipina hari ini melaporkan 11,563 kes di Metro Manila sahaja – wilayah yang terdiri daripada 16 bandar dengan populasi lebih 13 juta.

Kadar positif di wilayah itu telah meningkat kepada 45 peratus pada Selasa, menurut data kumpulan Penyelidikan Octa. Ini bermakna hampir satu daripada dua individu yang menjalani ujian saringan Covid-19, didapati positif.

Bilangan jangkitan pada Khamis mengatasi paras tertinggi Metro Manila sebelum ini iaitu 9,031 pada 11 September 2021, ketika varian Delta menular.

Wilayah ibu negara itu kini menyumbang kira-kira 68 peratus daripada 17,220 kes di seluruh negara yang dilaporkan hari ini.

Penyelidik kanan Octa, Guido David berkata memandangkan lonjakan di Metro Manila sahaja, jangkitan di seluruh negara boleh melebihi 20,000 sehari menjelang Jumaat, 7 Januari 2022.

“Lonjakan itu masih belum sampai ke kemuncaknya,” katanya.

Dengan hampir 2.9 juta kes positif dan kira-kira 51,700 kematian setakat ini, Filipina menjadi negara kedua berdepan pandemik terburuk Covid-19 di Asia Tenggara, selepas Indonesia.

Tanda-tanda penularan wabak di dalam komuniti yang didorong oleh varian Omicron telah muncul di serata tempat di Metro Manila, lapor media tempatan.

Dengan jangkitan meningkat lima kali ganda sejak 25 Disember lalu, kadar kemasukan ke hospital juga bertambah. Kementerian Kesihatan mendapati kira-kira separuh daripada wad, unit rawatan rapi dan katil kuarantin di Metro Manila sudah diduduki.

Hospital Besar Filipina, hospital terbesar kerajaan, hari ini memaklumkan mereka menutup wad bersalin sehingga dua hari kerana lonjakan pesakit Covid-19. Hospital itu juga mendedahkan ramai kakitangannya telah diuji positif.

Jurucakapnya berkata hospital itu kini mempunyai kira-kira 200 pesakit Covid-19, meningkat daripada hanya 30 pada 25 Disember lalu.

Lebih 140 pekerja kereta api dan pejabat pos di Metro Manila telah diuji positif. Perbicaraan kes di mahkamah juga telah digantung susulan ramai kakitangannya yang dijangkiti Covid-19.

Enchanted Kingdom, sebuah taman hiburan popular sejam perjalanan di selatan ibu kota Manila, kembali menutup pintunya, manakala liga bola keranjang negara juga telah menangguhkan semua perlawanan.

Ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya tahun ini juga telah menangguhkan kempen mereka, termasuk Naib Presiden Leni Robredo dan bekas senator Ferdinand Marcos Jr, yang kedua-duanya bertanding jawatan presiden.

Sementara itu, lebih ramai penguat kuasa undang-undang dikerahkan mengesan kad vaksin palsu dengan melakukan pemeriksaan rawak serta memastikan individu yang menjalani kuarantin wajib tidak meninggalkan hotel atau kemudahan pengasingan mereka.

Terdahulu, President Rodrigo Duterte mengumumkan Metro Manila diletakkan pada tahap tiga amaran Covid-19 bermula 3 Januari lalu hingga 15 Januari ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR