Masalah kebuluran global terus meningkat

Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan angka populasi global yang berada di ambang kebuluran akan meningkat di 43 buah negara, dan dijangka bertambah kepada 45 juta orang berikutan isu kelaparan akut di seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif WFP, David Beasley memberitahu kenaikan daripada 42 juta orang yang dilaporkan awal tahun lalu, dengan kebanyakannya disebabkan penilaian sekuriti makanan mendapati lebih tiga juta tambahan  lagi sedang menghadapi isu yang sama di Afghanistan.

“Lebih 10 juta orang berada di ambang kebuluran kerana berlakunya konflik kemanusiaan, krisis politik, perubahan iklim dan penularan wabak Covid-19 membawa kepada pertumbuhan angka tersebut.

“Data terkini menunjukkan terdapat lebih 45 juta orang sedang melalui fasa ambang kebuluran,” jelasnya selepas mengadakan tinjauan ke Afghanistan.

Katanya, lonjakan tersebut juga didorong oleh beberapa faktor melibatkan kenaikan kos bahan api, harga makanan melambung tinggi, kenaikan harga baja yang membawa kepada krisis baharu seperti yang sedang terjadi di Afghanistan serta keadaan darurat berpanjangan yang melanda Yaman dan Syria.

Menurut WFP, kos untuk menghalang terjadinya isu kebuluran di seluruh dunia kini berjumlah lebih AS$7 bilion berbanding AS$6.6 bilion pada awal tahun lalu, dan pertubuhan tetap memberi amaran bahawa aliran dana tradisional melepasi kemampuannya.

“Oleh kerana terjadi kebuluran yang serius, ada ahli keluarga yang terpaksa melalui masalah bekalan makanan, terpaksa memilih untuk mengahwinkan anak-anak mereka lebih awal untuk memperoleh makanan, terpaksa menghentikan anak-anak dari sekolah atau memberi makan belalang, daun atau kaktus kepada anak-anak.

“Media tempatan di Afghanistan turut mendakwa ada keluarga yang terpaksa menjual anak mereka kerana sudah terdesak untuk meneruskan hidup,” jelasnya.

Sementara itu, keadaan kemarau berterusan di negara itu serta kemelesetan ekonomi meletakkan banyak keluarga di Afghanistan terpaksa mengalami masalah ambang kebuluran, manakala di Syria dianggarkan lebih 12.4 juta orang tidak mempunyai sebarang makanan selepas terpaksa melalui konflik yang tiada berkesudahan selama berpuluh-puluh tahun.

Melalui agensi yang berpengkalan di Rom itu memaklumkan jumlah orang kebuluran juga dilihat semakin melonjak naik di Afrika iaitu di Ethiopia, Haiti, Somalia, Angola, Kenya dan Burundi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR