Mahkamah batal keputusan bubar Parlimen Pakistan, undi tak percaya diteruskan

Mahkamah Agung Pakistan membatalkan langkah Perdana Menteri Imran Khan yang diambil sebelum ini untuk membubarkan Parlimen dan perlu menjalankan undi tak percaya yang akan menyebabkan jawatannya terlucut.

Mahkamah Agung Pakistan membuat keputusan 5-0 dengan menolak tindakan Timbalan Speaker Qasim Khan Suri sebelum ini yang menghalang undi tak percaya daripada dijalankan.

Mahkamah juga mendapati keputusan Presiden Arif Alvi untuk membubarkan Parlimen, badan perundangan negara itu, atas arahan Imran adalah “bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang dan tiada kesan undang-undang” dan meminta undi tak percaya diadakan pada hari Sabtu.

“Selanjutnya diisytiharkan Parlimen itu masih wujud pada setiap masa dan terus kekal,” menurut perintah mahkamah tersebut.

Penyokong pembangkang turun berkumpul di luar bangunan Mahkamah Agung di Islamabad bagi meraikan keputusan tersebut.

Menteri Penerangan Fawad Chaudhry berkata bahawa Imran sudah mengadakan mesyuarat Kabinet dan jawatankuasa politik tertingginya di Parlimen dan juga merancang untuk berucap dalam siaran langsung negara itu pada hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR