Mahkamah Agung benarkan rakyat AS bawa senjata api di khalayak

June 24, 2022 · Dunia

Seperti dalam filem-filem koboi di negara ‘Uncle Sam’ yang pernah ditayangkan di televisyen, rakyat Amerika Syarikat (AS) kini bebas untuk membawa senjata api ke mana sahaja mereka pergi, walaupun di tempat awam.

Ia susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang memutuskan pada Khamis bahawa rakyat AS mempunyai hak asasi untuk membawa senjata api di khalayak – satu keputusan penting yang dibuat hanya beberapa minggu selepas satu lagi kejadian tembakan berlaku di sekolah.

Keputusan 6-3 itu membatalkan undang-undang New York yang memerlukan seseorang membuktikan mereka mempunyai keperluan mempertahankan diri yang sah untuk menerima permit senjata api dan akan menghalang negara itu daripada menyekat orang ramai membawa senjata.

Walaupun desakan yang semakin meningkat untuk mengehadkan senjata api selepas dua kejadian tembakan besar-besaran pada Mei mengejutkan negara itu, mahkamah berpihak kepada peguam bela yang mengatakan Perlembagaan AS menjamin hak untuk memiliki dan membawa senjata api.

Keputusan bersejarah itu adalah yang pertama oleh mahkamah dalam kes Pindaan Kedua Perlembagaan sejak satu dekad.

“Keputusan hari ini adalah kemenangan besar untuk lelaki dan wanita yang baik di seluruh Amerika dan merupakan hasil perjuangan selama berdekad-dekad yang diterajui Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA),” kata Naib Presiden Eksekutif NRA, Wayne LaPierre dalam satu kenyataan.

“Hak untuk mempertahankan diri dan keluarga serta orang tersayang anda tidak sepatutnya berakhir di rumah anda.”

Hakim Clarence Thomas, yang menulis pendapat majoriti, berkata Pindaan Kedua dan Pindaan Keempat Belas Perlembagaan melindungi hak individu untuk membawa pistol untuk mempertahankan diri di luar rumah.

“Keperluan sebab wajar New York, melanggar Pindaan Keempat Belas dengan menghalang rakyat yang patuh undang-undang, dengan keperluan mempertahankan diri biasa daripada menggunakan hak Pindaan Kedua mereka untuk menyimpan dan membawa senjata di khalayak ramai untuk mempertahankan diri.”

Senat AS sedang mempertimbangkan rang undang-undang dwipartisan yang jarang berlaku yang merangkumi langkah kawalan senjata api yang sederhana.

Pada 14 Mei, seorang remaja berusia 18 tahun menggunakan senjata api jenis AR-15 untuk membunuh 10 warga Afrika Amerika di sebuah pasar raya di Buffalo, New York.

Kurang dua minggu kemudian 19 kanak-kanak dan dua guru ditembak dan dibunuh di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, oleh seorang remaja lain dengan senjata raifal automatik berkuasa tinggi yang sama.

Undang-undang New York mengatakan bahawa untuk mendapat permit membawa senjata api di luar rumah, pemohon mesti menunjukkan dengan jelas bahawa ia diperlukan untuk mempertahankan diri – bermakna mereka yang tidak mempunyai keperluan yang ditunjukkan tidak boleh berbuat demikian.

Penyokong hak senjata berkata peraturan itu melanggar Pindaan Kedua Perlembagaan, yang mengatakan “hak seseorang untuk menyimpan dan membawa senjata tidak boleh dilanggar.”

Lebih separuh daripada negeri di AS sudah membenarkan orang ramai membawa senjata api tanpa kebenaran, kebanyakannya hanya berbuat demikian dalam dekad yang lalu.

Tetapi lebih daripada 20 negeri masih mengekalkan sekatan itu. Namun, susulan keputusan Mahkamah Agung AS pada Khamis, larangan itu kini boleh diketepikan.

Sepanjang dua dekad yang lalu, lebih 200 juta senjata api telah bertukar tangan di pasaran AS, diungguli oleh senjata api ringan dibangunkan daripada mesingun kecil yang boleh ditetapkan untuk melepaskan tembakan automatik atau separa automatik, dan pistol peribadi, menyumbang kepada lonjakan pembunuhan, tembakan besar-besaran dan bunuh diri. – AFP

Berita berkaitan
Polis New York tangkap suspek tembak di stesen keretapi bawah tanah
April 14, 2022· Dunia
Amerika sekat lima entiti ada kaitan dengan Korea Utara
April 2, 2022· Dunia
Isteri Ng dipanggil beri keterangan dalam kes mahkamah 1MDB di AS
March 29, 2022· Isu semasa
Rosmah nafi miliki kalung berlian merah jambu AS$23 juta
March 25, 2022· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Menteri Ekonomi Argentina letak jawatan selepas pinjaman IMF diluluskan
14 jam lalu · Dunia
Gempa bumi sederhana dikesan di Laut Maluku Utara
20 jam lalu · Dunia
Eropah berdepan peningkatan jangkitan cacar monyet: WHO
July 2, 2022 · Dunia
Pesakit cacar monyet di UK alami gejala berbeza: Kajian
July 2, 2022 · Dunia
Penduduk Asia Pasifik lebih cepat menua
July 2, 2022 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok