
Filem ini menggambarkan kehidupan Fatimah az-Zahra, salah seorang anak perempuan Nabi Muhammad, yang digarap daripada tulisan oleh ulama Syiah Sheikh Yasser al-Habib, yang menggambarkan kematian Fatimah sebagai "mangsa pertama keganasan."
Maghribi mengharamkan filem Inggeris mengenai kisah hidup anak perempuan Nabi Muhammad SAW – Fatimah az-Zahra – yang turut mendapat bantahan umat Islam di beberapa negara, sambil menyifatkan filem itu menghina Islam.
‘The Lady of Heaven’ tidak akan menerima lesen untuk ditayangkan di negara itu, kata Pusat Sinematografi Maghribi (CCM) dalam satu kenyataan setelah Majlis Tertinggi Ulama (MSSC) negara itu mengecam filem berkenaan.
MSSC mengeluarkan kenyataan mengecam keras filem “The Lady of Heaven” sambil menolak pemalsuan fakta dalam sejarah Islam.
Filem ini menggambarkan kehidupan Fatimah az-Zahra, salah seorang anak perempuan Nabi Muhammad, yang diambil dari mazhab Syiah, yang sangat berbeza dengan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tentang kisah hidupnya.
Ditulis oleh ulama Syiah Sheikh Yasser al-Habib, filem itu menggambarkan kematian Fatimah az-Zahra dalam sinopsisnya sebagai “mangsa pertama keganasan.”
Sejak ditayangkan pada 3 Jun, filem kontroversi itu telah mencetuskan kemarahan yang meluas dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, dengan masyarakat Islam di United Kingdom (UK) mengadakan bantahan di seluruh negara.
Kira-kira 120,000 orang telah menandatangani petisyen supaya filem itu ditarik balik dari pawagam, mengatakan bahawa plotnya tidak menggambarkan peristiwa sejarah dengan tepat.
Awal minggu ini, Bradford Cineworld yang berpangkalan di UK, serta pawagam lain di seluruh negara, mengumumkan bahawa filem itu telah ditarik balik daripada tayangan berikutan bantahan oleh orang ramai yang marah di hadapan pawagam.
Menjawab kritikan yang diterima filemnya, penerbit Malik Shlibak berkata bahawa kemarahan dan kontroversi itu adalah “publisiti besar-besaran untuk filem itu,” sambil menambah bahawa dia dan pasukannya “menjangkakannya dari awal.”
Dia memberitahu SkyNews: “Kami tidak mempersembahkan versi sejarah yang terlalu romantik. Kami menghabiskan masa setahun dalam pra-pengeluaran untuk memastikan sejarah itu tepat.”
Shlibak menyatakan penerimaannya terhadap kebebasan orang ramai untuk mengkritik filem itu, dengan mengatakan bahawa “sebarang topik agama yang anda tangani akan mempunyai perselisihan faham dalam kalangan kumpulan yang berbeza.”
Filem itu telah menyebabkan “banyak tekanan kepada umat Islam di seluruh dunia,” kata ulama Shahid Ali, yang menganjurkan protes terhadap filem itu di Bradford, UK.
Pengkritik drama bersejarah £12 juta (AS$14.7 juta) itu kebanyakannya adalah Muslim Ahli Sunnah Waljamaah, dengan ramai yang menyifatkan filem itu sebagai menghina Islam dan berunsur perkauman. – Agensi