Lonjakan Omicron di New York dijangka beberapa minggu lagi

Kes Covid-19 melonjak di New York dan seluruh Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu disusuli jangkaan peningkatan kes Omicron, sekali gus menjadikan musim cuti Krismas dan Tahun Baharu tidak meriah, selain berdepan sekatan baharu.

Varian Omicron yang merebak pantas telah menjadi dominan di AS meragut nyawa seorang lelaki yang tidak menerima vaksin di Texas pada Isnin, kata pegawai.

Varian Omicron kini menyumbang 73 peratus daripada jangkitan Covid-19 AS berdasarkan data penjujukan untuk minggu yang berakhir pada Sabtu, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Sementara itu, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio menjangkakan lonjakan jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron, akan berlaku di bandar metropolitan itu dalam beberapa minggu akan datang.

“Kita akan melihat peningkatan yang sangat pantas dalam kes baharu harian. Kita akan melihat ramai penduduk New York terjejas oleh Omicron,” katanya pada sidang akhbar melalui siaran web.

“Ia akan menjadi beberapa minggu yang sangat mencabar,” tambahnya.

Menurutnya individu yang dijangkiti varian Omicron di New York setakat ini mengalami simptom ringan berbanding apa yang dialami ketika virus asal mula merebak dua tahun lalu.

“Kita perlu mengalahkan Omicron. Kita perlu mengelak penutupan. Kita perlu mengelak sekatan. Kita perlu terus bergerak ke hadapan. Vaksinasi adalah kuncinya,” tegasnya.

Hampir 80 peratus penduduk di New York setakat ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, manakala 71 peratus telah lengkap divaksinasi.

Negeri New York pada hari Jumaat menyaksikan jumlah jangkitan harian Covid-19 tertinggi sejak wabak itu bermula, dengan melaporkan 21,027 kes positif.

Susulan peningkatan kes Covid-19, Datuk Bandar Washington Muriel Bowser mewajibkan pemakaian semula pelitup muka di ruang tertutup sehingga akhir Januari dan mengarahkan kakitangan kerajaan untuk mendapatkan vaksin, termasuk suntikan penggalak.

“Saya rasa kita semua sudah bosan dengannya. Saya juga bosan dengannya, tetapi kita perlu bertindak balas terhadap apa yang berlaku di bandar kita dan apa yang berlaku di negara kita,” kata Bowser. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR