Lonjakan dramatik, lebih 21,000 kes baharu Covid-19 di New York

New York mengalami lonjakan dramatik kes harian Covid-19, dengan 21,027 kes positif daripada 263,536 keputusan ujian, dengan nisbah positif 7.98 peratus, menurut Gabenor Kathy Hochul.

Lonjakan itu mengalihkan tumpuan kakitangan kesihatan kepada kemasukan ke hospital dan kematian, pengukur utama kesan wabak.

Seramai 3,839 pesakit dimasukkan ke hospital dan 60 kematian dilaporkan akibat komplikasi Covid-19, kata Hochul menerusi Twitter.

Walaupun jumlah itu lebih dua kali ganda daripada dicatat pada awal November lalu, ia jauh lebih kecil berbanding hampir 19,000 pesakit yang dimasukkan ke hospital pada April 2020.

Jumlah kematian telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi pada awal tahun 2021 kematian harian secara konsisten melebihi 100.

Pada April 2020, kematian disebabkan oleh virus itu dalam sehari di New York mencapai kemuncak hampir 800 pesakit.

“Kita tidak boleh… dan kita tidak akan kembali ke tempat kita 21 bulan lalu. Kita mempunyai alat untuk melawan virus ini.

“Pakai topeng. Dapatkan vaksin. Jika anda telah diberi vaksin sepenuhnya, dapatkan dos penggalak anda secepat mungkin,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Hochul berkata lonjakan kes pada musim sejuk adalah peringatan bahawa wabak itu belum berakhir dan orang ramai perlu lebih berhati-hati untuk menjaga keselamatan diri dan satu sama lain.

Walaupun rakyat Amerika Syarikat (AS) digesa untuk mendapatkan vaksin dan suntikan penggalak, varian baharu Covid-19, Omicron, merekodkan 13.1 peratus daripada jumlah kes di New York dan jirannya, New Jersey minggu lalu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Secara kasarnya, 70 peratus penduduk New York telah lengkap divaksinasi berbanding purata seluruh AS sebanyak 61 peratus. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR