London mahu kekal pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam

Datuk Bandar London Sadiq Khan akan mengekalkan peraturan mewajibkan semua penumpang pengangkutan awam di London memakai pelitup muka. - Gambar Reuters

Pemakaian pelitup muka akan tetap diwajibkan bagi semua penumpang pengangkutan awam di London walaupun kerajaan Britain merancang melonggarkan peraturan keselamatan Covid-19 di seluruh England bermula Isnin depan.

Datuk Bandar London Sadiq Khan berkata beliau belum bersedia untuk meletakkan semula kota itu daripada risiko pandemik dengan menarik balik langkah perlindungan itu.

Sebelum ini pemakaian pelitup muka dijadikan mandatori dalam perkhidmatan komuter Transport for London (TfL), merangkumi bas, trem dan kereta api di bandar.

Mereka yang enggan memakai pelitup muka akan dikenakan denda minimum sebanyak AS$277.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain Boris Johnson hari ini mengisytiharkan langkah kawalan Covid-19 dimansuhkan minggu depan dengan menggelarnya sebagai ‘gelombang keluar’.

Johnson berkata semua peraturan yang dikuatkuasakan untuk mengawal penularan Covid-19 di England akan berakhir Isnin depan – memakai pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial hanya akan menjadi ‘keputusan peribadi’ tidak kira sama ada di lobi hospital, stesen bawah tanah atau di pusat hiburan yang penuh dengan pemuda tidak divaksin.

Khan dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau telah berulang kali menjelaskan bahawa pilihan paling mudah dan paling selamat adalah bagi kerajaan untuk mengekalkan syarat memakai pelitup muka dalam pengangkutan awam.

“Saya tidak bersedia untuk meletakkan warga London, termasuk pemulihan bandar ini dalam risiko. Inilah sebabnya selepas mempertimbangkan dengan teliti, saya memutuskan untuk meminta TfL mengekalkan syarat bagi penumpang untuk memakai pelitup muka di semua perkhidmatannya,” katanya.

Bagaimanapun, langkah memansuhkan peraturan kawalan Covid-19 itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan saintis yang mengingatkan keputusan yang dibuat itu terlalu cepat dan akan menyebabkan berlaku peningkatan semula kes secara dramatik.

“Dengan memakai pelitup muka, kami memberi jaminan dan keyakinan kepada warga London dan pengunjung untuk memanfaatkan sepenuhnya apa yang ditawarkan di bandar ini, di samping melindungi pekerja sektor pengangkutan awam.

“Selain itu, pemakaian topeng muka juga boleh membuatkan anda tidak dijangkiti virus itu,” kata Khan.

Terdapat 400 orang pegawai penguat kuasa yang akan melakukan rondaan di rangkaian pengangkutan itu untuk memastikan orang ramai mengikuti arahan tersebut.

Khan juga berkata beliau akan ‘menerapkan langkah yang sesuai’ untuk memastikan orang ramai terus memakai pelitup muka ketika menaiki teksi dan kereta sewa bagi pemandu dan penumpang. – Agensi

POPULAR