‘Lockdown’ kunci utama tangani penularan Covid-19: PM Australia

Perdana Menteri Australia Scott Morrison hari ini mempertahankan strategi ‘lockdown’ dan pendekatan perintah sekatan bagi menangani penularan virus Covid-19 di negara itu, tatkala jumlah jangkitan harian memecah rekod baharu.

Beliau menegaskan perintah sekatan dan penutupan itu akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi Australia telah diberi suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya.

Mengikut data pihak berkuasa kesihatan negara itu, Australia merekodkan 914 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, berbanding jumlah tertinggi sebelum ini sebanyak 894 kes.

Peningkatan itu didorong oleh penularan meluas varian Delta yang mula dikenal pasti di India, dan mudah berjangkit.

“Anda tidak boleh hidup dengan lockdown selama-lamanya dan pada satu waktu anda perlu melakukan perubahan dan ia akan dilakukan apabila mencapai 70 peratus,” kata Morrison merujuk kepada program imunisasi Covid-19 Australia dalam rancangan stesen ABC hari ini.

Penutupan atau lockdown itu katanya adalah kunci utama Kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan pandemik Covid-19 sehingga tahap imunisasi mencapai 70 peratus, manakala sempadan negara pula akan dibuka setelah mencapai 80 peratus.

Namun, perintah sekatan dan penutupan yang dikuatkuasakan di beberapa bandar utama seperti Sydney dan Melbourne mencetuskan kemarahan orang ramai.

Semalam, polis menangkap ratusan peserta demonstrasi yang membantah perintah sekatan dan penutupan di Sydney dan Melbourne, dua bandar paling padat penduduk di New South Wales dan Victoria yang masih diletakkan di bawah perintah ‘lockdown’.

Victoria sudah enam kali dikenakan perintah ‘lockdown’ sejak permulaan pandemik Covid-19 merekodkan 65 kes baharu hari ini, menjadikan kedudukan semasa kepada 440 kes.

Sementara itu New South Wales pula mencatatkan 830 kes baharu hari ini, di sebalik tindakan memperketatkan sekatan dan ‘lockdown’ di beberapa bandar utama di negeri itu, termasuk Sydney.

Keseluruhannya Australia merekodkan hampir 12,000 kes aktif sehingga kini.

Hanya kira-kira 30 peratus daripada individu berusia 16 tahun ke atas di negara itu yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, menurut data Kementerian Kesihatan.

Program vaksinasi lebih perlahan sekarang ini susulan kekurangan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech, manakala sesetengah penduduk negara itu pula enggan menerima vaksin AstraZeneca yang dikatakan boleh menyebabkan risiko pembekuan darah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR