‘Lockdown’: Jokowi lanjut perintah darurat lima hari lagi

Presiden Joko Widodo melanjutkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ di seluruh Pulau Jawa dan Bali serta beberapa wilayah lain sehingga 25 Julai ini.

Indonesia sebelum ini mengenakan PPKM Darurat bermula 3 Julai lalu di Pulau Jawa dan Bali serta bandar besar lain yang berakhir tepat pada hari umat Islam menyambut Aidiladha.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.

Setelah mengumumkan lanjutan sekatan itu Presiden Indonesia yang juga dikenali sebagai Jokowi berkata jumlah jangkitan Covid-19 mulai menurun.

“Sekiranya trend kes terus menurun, mulai 26 Julai pemerintah akan mula melonggarkan perintah sekatan secara bertahap,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Kes Covid-19 di Indonesia ketika ini adalah yang paling tinggi di dunia susulan penularan varian Delta. Semalam sahaja, negara itu merekodkan 1,338 kematian dalam tempoh 24 jam lalu – tertinggi sejak pesakit pertama mula dikesan tahun lalu.

Dalam tempoh dua hari lalu juga, jangkitan baharu dilaporkan menurun. Semalam, negara itu merekodkan 34,257 kes berbanding sehari sebelumnya sebanyak 44,721 kes.

Pada 16 Julai lalu republik itu melaporkan 54,517 kes baharu sekali gus menjadikannya sebagai negara pertama mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi di dunia berdasarkan laporan di dalam laman sesawang https://www.worldometers.info/coronavirus/.

Sistem kesihatan di beberapa wilayah, khususnya di Jakarta juga berdepan malapetaka, sehingga tidak mahu lagi menerima pesakit berikutan kekurangan tempat rawatan.

Bagaimanapun, ahli epidemiologi Universiti Indonesia, Tri Yunis Miko Wahyono, berkata pemerintah tidak seharusnya bergantung kepada jumlah jangkitan sebagai ukuran dalam memutuskan tindakan membendung penularan wabak Covid-19.

“Sekarang, kemungkinan jumlah kes masih sangat tinggi di kalangan masyarakat… ramai yang meninggal dunia dan pemerintah menutup mata,” katanya.

Walaupun jumlah jangkitan menurun minggu ini, kadar kes positif kekal tinggi iaitu pada 33 peratus hari ini. Kadarnya melebihi 20 peratus sejak 30 Jun. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR