Lima murid maut: Polis siasat punca belon istana terbang

Pihak berkuasa Australia menyiasat sama ada alat mainan belon istana atau ‘bouncing castle’ yang diterbangkan angin mengorbankan lima murid sekolah rendah di Tasmania, semalam, diikat ke tanah atau tidak.

Tiga murid lelaki dan dua perempuan berusia 11 dan 12, terbunuh apabila belon besar itu terpelanting ke udara ketika pesta akhir penggal persekolahan di Devonport, utara Tasmania, semalam.

Kanak-kanak terbabit yang sedang bermain di dalam belon istana itu tercampak pada ketinggian kira-kira 10 meter ke udara, memetik laporan saksi awal.

Tiga lagi kanak-kanak berada dalam keadaan kritikal di hospital di ibu negeri Hobart dan seorang sedang pulih di rumah, kata Pesuruhjaya Polis Tasmania, Darren Hine pada sidang media hari ini.

Polis menyiarkan nama dan gambar lima kanak-kanak yang maut iaitu Zane Mellor, Jalailah Jayne-Maree Jones, Jye Sheehan, Addison Stewart, Peter Dodt. Berita berkaitan

Ditanya sama ada belon istana itu ditambat ke tanah, beliau berkata perkara itu adalah sebahagian daripada siasatan yang diketuai polis di bawah arahan koroner negeri, yang telah pun melawat tempat kejadian.

Siasatan itu, yang dibantu oleh pihak berkuasa keselamatan pekerja Tasmania, akan menyoal pengurusan syarikat yang bertanggungjawab ke atas belon itu, kata Hine.

Sekolah Rendah Hillcrest sedang mengadakan sambutan menandakan berakhirnya tahun persekolahan. Ketika kejadian terdapat hampir 40 orang murid tahun 5 dan 6 mengambil bahagian dalam aktiviti akhir penggal itu.

“Sembilan kanak-kanak cedera parah. Malangnya lima daripada mereka meninggal dunia, tiga lelaki dan dua perempuan. Seorang berusia 11 tahun dan yang lain 12 tahun,” kata Hine.

Ramalan cuaca tempatan sebelum itu meramalkan angin sepoi-sepoi di kawasan itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR