Lima maut, 9 cedera kedai serbaneka tiga tingkat runtuh di Kalimantan Selatan

Empat orang maut manakala sembilan yang lain cedera setelah terperangkap dalam runtuhan sebuah kedai tiga tingkat yang runtuh secara tiba-tiba di daerah Banjar, Kalimantan Selatan di Indonesia, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang pada Isnin, sebelum waktu berbuka puasa, dimana Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia menerima panggilan bagi memaklumkan insiden tersebut lima minit kemudian.

Ketika kejadian, terdapat pengguna yang sedang membeli belah di kedai tersebut dan petugas keselamatan segera digegaskan ke tempat kejadian.

Jurucakap polis Kalimantan Selatan, Mochammad Rifai berkata operasi menyelamat tersebut dijalankan secara berterusan sejak petang semalam dan berakhir pada jam 9.35 pagi tadi.

“Kami menerima laporan bahawa terdapat 14 mangsa yang terperangkap dalam kejadian, dan kesemuanya telahpun ditemui,” beliau dipetik sebagai berkata oleh AFP.

Kesemua mangsa yang terselamat telah dibawa ke beberapa buah hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Insiden kejadian masih lagi disiasat.

Syarat piawaian pembinaan yang longgar yang diamalkan di Indonesia dikatakan menyumbang kepada kekerapan kejadian seumpama ini berlaku di negara tersebut.

Pada tahun 2020, sekurang-kurangnya dua mangsa tercedera susulan dari kejadian bangunan lima tingkat runtuh di Jakarta.

Sebelum itu, pada tahun 2018, sekumpulan remaja terkorban ketika mereka sedang dalam persiapan menyertai pertandingan tarian dan musik setelah bangunan yang digunakan mereka untuk berlatih di Jakarta runtuh.

Pada tahun sama, sekurang-kurangnya 75 mangsa mengalami kecederaan apabila lantai mezanin berdepan lobi utama di bangunan Bursa Saham Indonesia runtuh.

 

 

BERITA BERKAIT
POPULAR