Lima maut, 40 cedera SUV rempuh perarakan Krismas di Wisconsin

Lima maut, manakala lebih 40 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu laju merempuh perarakan Krismas di sebuah pekan kecil di Waukesha, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Angka kematian dan kecederaan boleh berubah, kata pegawai kesihatan tempatan.

Ketua Polis Waukesha, Dan Thompson memberitahu wartawan seorang individu ditahan dan SUV berkenaan dirampas dalam kejadian di bandar yang dihuni kira-kira 72,000 penduduk, 32 kilometer di barat Milwaukee.

Sehingga kini, katanya polis belum dapat memastikan sama ada insiden itu ada kaitan dengan pengganas atau tidak kerana langkah berjaga-jaga telah ditarik balik.

Klip video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah SUV merah dipandu dengan laju merempuh orang ramai, termasuk kanak-kanak, yang menyertai perarakan itu.

Thompson berkata pegawai polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu untuk menghentikannya.

Gambar dan video Waukesha yang tersebar di Twitter menunjukkan kereta polis dan ambulans memenuhi jalan yang dihiasi dengan lampu Krismas selepas kejadian itu, yang berlaku sejurus selepas 430 petang.

Hospital Kanak-Kanak Wisconsin berkata mereka telah menerima 15 pesakit setakatjam 8 malam, tanpa kematian dilaporkan pada masa itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR