
Pasukan keselamatan Thailand memeriksa kawasan pertempuran di daerah Raman, Yala, pada Jumaat (8 Julai) yang menyaksikan dua anggota kumpulan pemisah terbunuh.
Lima lelaki dipercayai anggota kumpulan pemisah terbunuh dalam tiga insiden berbalas tembakan selepas pihak berkuasa Thailand melancarkan operasi membanteras miltan di tiga wilayah selatan negara itu – Yala, Pattani dan Narathiwat – sejak Selasa lalu.
Insiden terbaharu berlaku di daerah Raman, Yala pada Jumaat (8 Julai) menyaksikan dua anggota kumpulan pemisah yang dikaitkan dengan tentera Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) terbunuh.
Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan pihak berkuasa Thailand sebelum ini melaksanakan gencatan senjata selama 40 hari bermula pada awal Ramadan lalu.
Ketua Polis Kota Bharu di daerah Raman, Kolonel Rattaponchai Pensongkram berkata dalam insiden pada jam 3 pagi waktu tempatan itu, pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian sekumpulan anggota militan.
“Anggota kumpulan terbabit menyedari kehadiran pihak berkuasa di rumah berkenaan kira-kira jam 6 pagi dan cuba meloloskan diri menyebabkan berlaku insiden berbalas tembakan.
“Lapan lagi disyaki anggota kumpulan itu menyerah diri. Pasukan keselamatan kemudian menemukan dua mayat dan senjata api.
“Kami percaya mereka bersembunyi di kawasan itu untuk melancarkan serangan,” katanya.
Sementara itu, Komander Tentera Bahagian Ke-4, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak mengesahkan pasukan keselamatan turut menahan lapan anggota kumpulan pemisah yang menyerah diri, dipercayai anggota PULO.
Beliau berkata pada 5 Julai pasukan keselamatan menemukan mayat seorang lelaki dipercayai anggota BRN di Patani dan turut menahan seorang lelaki di Yala.
“Dua hari kemudian, dua lagi militan maut di Rueso, Narathiwat manakala beberapa lelaki bersenjata berjaya meloloskan diri,” katanya. – Agensi