Lelaki dakwa diupah terima 14 suntikan vaksin Covid-19

Pihak berkuasa Indonesia dilaporkan sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan upah suntikan vaksin Covid-19, bagi pihak individu lain.

Lelaki terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahim dari Pinrang, Sulawesi Selatan merakam video mengandungi dakwaannya telah menerima 14 suntikan bagi pihak individu lain.

Menurutnya, dia dibayar oleh mereka enggan mendapatkan suntikan vaksin, tetapi mahukan keistimewaan sebagaimana yang diperoleh individu lengkap vaksinasi.

“Nama saya Abdul Rahim. Saya telah diberi vaksin sepenuhnya, dan saya telah menerima vaksin bagi pihak 14 orang.

“Oleh itu saya telah menerima 16 suntikan yang mana saya dibayar 100,000 hingga 800,000 rupiah setiap kali suntikan,” katanya dalam klip video pendek itu, yang tular di negara ini.

Abdul Rahim berkata dia telah menerima semua suntikan itu dalam tempoh tiga bulan lalu.

Malah, katanya, dalam hari-hari tertentu dia menerima tiga suntikan dan hanya mengalami kesan sampingan ringan seperti mengantuk.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang mendorong Abdul Rahim merakam dan memuat naik pengakuannya.

Jika dia telah menerima satu suntikan untuk setiap orang yang telah mengupahnya, dia juga mungkin perlu menerima dos kedua masing-masing untuk menikmati keistimewaan penuh mereka yang divaksinasi.

Jurucakap polis tempatan memberitahu mereka telah mengesan lelaki itu tetapi belum mengambil keterangan mengenai dakwaannya.

Kementerian Kesihatan mengesyaki Abdul Rahim mungkin mengalami masalah mental, tetapi aspek ini mesti disahkan secara klinikal bagi memastikan dia tidak menipu sistem vaksinasi Covid-19 negara itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR