
Sub-varian Omicron BA.4 dan BA.5 dijangka menjadi varian dominan di Thailand. - ADB
Kementerian Kesihatan Awam Thailand (PHM) memaklumkan lebih separuh daripada jumlah jangkitan Covid-19 di Thailand kini adalah subvarian Omicron BA.4 dan BA.5.
Susulan itu, PHM juga meramalkan jumlah jangkitan mungkin meningkat kepada 30,000 kes sehari.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Thailand, Dr Natthaphong Wongwiwat berkata unjuran 20,000 hingga 30,000 jangkitan baharu setiap hari adalah berdasarkan kes yang disahkan oleh ujian RT-PCR dan antigen.
Sebanyak 5,407 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam dan 2,004 hari ini, menurut angka yang diterbitkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit (DDC).
Jumlah pesakit yang menghidap Covid-19 yang teruk adalah kira-kira 1,000, lebih tinggi sedikit daripada sebelumnya, katanya.
Dr Natthaphong berkata walaupun jangkitan baharu meningkat, jumlah kes Covid-19 yang teruk tidak begitu tinggi dan hanya sebilangan kecil yang memerlukan rawatan di hospital.
Bagi sub-varian BA.4 dan BA.5 Omicron, jumlahnya kini adalah lebih separuh daripada semua jangkitan baharu di Thailand, yang kebanyakannya dikesan di Bangkok dan wilayah sekitarnya, katanya.
Kedua-dua sub-varian itu dijangka mengambil masa antara dua hingga empat minggu sebelum menjadi dominan dan akhirnya menyumbang kira-kira 90 peratus daripada semua kes Covid-19.
Ketua Pusat Sains Kesihatan Penyakit Berjangkit Palang Merah Thailand Dr Thiravat Hemachudha, pula menggesa PHM supaya kembali melaporkan jumlah sebenar jangkitan Covid-19 baharu setiap hari dan bukannya melaporkan hanya bilangan pesakit yang dijangkiti yang memerlukan kemasukan ke hospital.
“Tiada siapa yang tidak akan menyalahkan kementerian jika jumlah sebenar menjadi berpuluh ribu malah 100,000 sehari kerana itulah yang berlaku di seluruh dunia.
“Faedah melaporkan jumlah sebenar jangkitan adalah orang ramai akan dimaklumkan dengan baik tentang keadaan sebenar dan mereka akan lebih berhati-hati,” katanya.
Pada Jumaat Dr Taweesilp Visanuyothin, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, berkata purata jumlah kes baharu Covid-19 sehari yang dilaporkan oleh DDC pada masa ini ialah 29,000 kes. – Agensi