Lebih sejuta penduduk AS dijangkiti Covid-19 pada Isnin

Lebih sejuta penduduk di Amerika Syarikat (AS) disahkan dijangkiti Covid-19 pada Isnin, 3 Januari 2021, – rekod kes harian dunia – ketika tsunami Omicron melanda kehidupan kebanyakan bandar besar di negara itu.

Omicron – varian paling pantas menular dan yang sangat bermutasi – mendorong lonjakan kes di AS sehingga mencapai rekod tertinggi, dengan margin yang besar, yang pernah dilaporkan oleh mana-mana negara sejak wabak itu bermula lebih dua tahun lalu.

Jumlah yang dicatat pada Isnin hampir dua kali ganda daripada rekod sebelumnya iaitu kira-kira 590,000 yang dicatatkan hanya empat hari lalu, yang dengan sendirinya adalah dua kali ganda daripada minggu sebelumnya.

Sebanyak 1,082,549 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Isnin, menurut data yang dikumpulkan Universiti Johns Hopkins, susulan penularan pantas varian Omicron.

Jumlah kes harian di AS pada Isnin juga adalah lebih daripada dua kali ganda jumlah yang dilihat di mana-mana negara lain pada bila-bila masa.

Kadar tertinggi di luar AS berlaku ketika lonjakan varian Delta di India, apabila lebih 414,000 orang disahkan positif pada 7 Mei 2021.

Jumlah harian baharu itu menjadikan kumulatif kes yang disahkan di AS sejak permulaan wabak itu kepada 56,189,547. Secara keseluruhan, Covid-19 telah menyebabkan sekurang-kurangnya 827,748 kematian di seluruh negara itu.

Jangkitan yang semakin meningkat menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan, sekolah dan pejabat ditutup, hospital yang semakin tenat dan rantaian bekalan terhad.

Data daripada Universiti Johns Hopkins telah lengkap pada tengah malam waktu timur di Baltimore, dan kelewatan dalam melaporkan semasa cuti mungkin telah memainkan peranan dalam kadar peningkatan kes itu.

Namun begitu, setakat 3 Januari, purata tujuh hari kes baharu di AS ialah 480,273, tertinggi berbanding mana-mana negara yang dijejaki oleh Universiti Johns Hopkins.

Kira-kira 98,000 rakyat Amerika dimasukkan ke hospital akibat Covid-19, menurut data tujuh hari dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan pada 3 Januari, meningkat 32 peratus daripada seminggu sebelumnya.

Angka itu menghampiri paras kemuncak Delta apabila kira-kira 103,000 pesakit dimasukkan ke hospital pada awal September, tetapi kekal lebih rendah daripada paras tertinggi musim sejuk lalu iaitu kira-kira 137,000 kemasukan ke hospital.

AS melaporkan purata kira-kira 1,200 kematian Covid setiap hari untuk minggu berakhir 3 Januari, data Johns Hopkins menunjukkan, jauh di bawah angka rekod yang dilihat berikutan musim cuti tahun lepas apabila purata harian kekal melebihi 3,000 selama kira-kira sebulan bermula pada Januari 2021. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR