Lebih 79 juta dijangka mudik lebaran

Pemerintah Republik Indonesia membenarkan orang ramai melakukan perjalanan pulang bagi menyambut Aidilfitri yang dikenali sebagai ‘mudik’, selepas dua tahun tidak dibenar berbuat demikian, namun mereka yang pulang perlu mendapatkan vaksin penggalak Covid-19.

Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi berkata pihaknya sedang menyediakan kemudahan vaksinasi di lapangan terbang, pelabuhan, stesen dan terminal bas untuk mereka yang mudik.

“Insya-Allah akan ada tempat vaksinasi di lapangan terbang, pelabuhan, terminal bas, dan stesen kereta api,” katanya.

Budi berkata pihaknya akan menyelaraskan dengan agensi berkaitan dalam beberapa minggu akan datang dan menjalankan simulasi.

Berdasarkan data kementerian, kira-kira 79 juta dijangka mudik tahun ini. Jumlah itu dianggap tinggi tetapi boleh difahami kerana sejak dua tahun lalu, orang ramai tidak dapat pulang ke kampung halaman mereka susulan sekatan Covid-19.

Kebanyakan orang ramai akan mudik ke Jawa Barat, Jawa Tengah, dan Jawa Timur.

Ketua Pasukan Petugas Covid-19, yang juga Ketua Badan Mitigasi Bencana Negara (BNPB), Lt Jen Suharyanto berkata, orang ramai dibenarkan melakukan perjalanan pulang pada tahun ini tetapi mereka mesti mengambil vaksin Covid-19 sebagai keperluan perjalanan.

Bagi mereka yang menerima vaksin penggalak, tidak perlu menjalani ujian Covid-19. Mereka yang mendapat vaksin primer yang lengkap, atau dos pertama dan kedua, mesti menjalani ujian antigen minimum sekali dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas, atau ujian PCR.

Manakala mereka yang hanya menerima satu dos perlu menjalani ujian PCR sekurang-kurangnya 24 jam sebelum berlepas.

Kementerian Pengangkutan menyediakan kemudahan vaksinasi di lapangan terbang, pelabuhan, stesen, dan terminal untuk orang ramai yang bertujuan untuk mudik dan melengkapkan vaksin penggalak mereka.

Mengikut rekod, sekurang-kurangnya 159.95 juta warga Indonesia telah menyelesaikan siri vaksinasi Covid-19 dua dos setakat Sabtu, menurut Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19.

Menurut data pasukan petugas itu, jumlah penerima dos kedua meningkat sebanyak 264,499 pada Sabtu, menjadikan keseluruhan 159,950,991 setakat ini.

Sementara itu, jumlah penerima dos pertama mencecah 196,850,337, dengan 131,237 menerima suntikan pertama pada Sabtu.

Menurut pasukan petugas itu, 560,231 orang menerima dos ketiga atau penggalak pada Sabtu, menjadikan jumlah penerima setakat ini meningkat kepada 23,574,482 orang. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR