Lebih 600 kakitangan kesihatan Thai lengkapi dos Sinovac dijangkiti

Pakar kesihatan mencadangkan suntikan ketiga dos vaksin Covid-19 bagi meningkatkan imuniti. - Gambar EPA-EFE

Kementerian Kesihatan Thailand melaporkan lebih 600 kakitangan perubatannya yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Sinovac buata China dijangkiti virus Covid-19, menyebabkan kerajaan negara itu mempertimbangkan emberian dos ketiga untuk meningkatkan imuniti.

Daripada 677,348 kakitangan perubatan yang menerima dua dos Sinovac, 618 telah dijangkiti, lapor data kementerian itu bagi tempoh April hingga Julai.

Panel pakar penasihat Covid-19 mencadangkan dos ketiga bagi meningkatkan imuniti kepada pekerja kesihatan yang berisiko, kata pegawai kanan kesihatan Sopon Iamsirithawon.

Suntikan ketiga akan menggunakan vaksin lain. Sama ada AstraZeneca atau vaksin mRNA lain, di mana Thailand akan menerimanya dalam masa terdekat, katanya sambil menjelaskan cadangan itu akan dipertimbangkan hari ini.

Pengumuman itu dibuat tatkala negara berkenaan merekodkan jumlah jangkitan tertinggi sebanyak 9,418 kes baharu dan 91 kematian, semalam.

Majoriti kakitangan perubatan dan petugas barisan hadapan Thailand diberi vaksin Sinovac Februari lalu, sementara vaksin AstraZeneca diterima pada Jun.

Thailand juga sedang menunggu sumbangan 1.5 juta vaksin Pfizer-BioNTech daripada Amerika Syarikat bulan ini, selain 20 juta yang dibeli dan dijangka tiba Oktober ini.

Sebelum ini Indonesia membuat keputusan memberi dos ketiga kepada kakitangan perubatannya menggunakan vaksin Moderna. Dos pertama dan kedua menggunakan vaksin Sinovac. – Agensi

POPULAR