Lebih 35.7 juta rakyat Indonesia terima dos pertama vaksin

Indonesia mempercepatkan program imunisasi susulan penularan Covid-19 yang semakin meluas di negara itu. - Gambar Reuters

Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan hampir 35,775,567 rakyat Indonesia, daripada 270 juta penduduknya, telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 914,881 orang berbanding hari sebelumnya.

Sementara itu, jumlah rakyatnya yang telah menerima vaksin sepenuhnya iaitu dos kedua pula telah mencapai 14,868.577 juta orang dan meningkat sebanyak 246,075 dari hari sebelumnya.

Program Vaksinasi Nasional yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Indonesia pada 13 Januari lalu di bawah fasa pertama ini ditumpukan kepada hampir 40,349,049 juta orang yang melibatkan pekerja kesihatan, pengawai perkhidmatan awam dan warga tua.

Pemerintah Indonesia telah menyasarkan untuk memberikan suntikan vaksin kepada hampir 181,5 juta penduduk di mana merangkumi hampir 70 peratus populasi republik itu bagi berdepan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Profesor Pulmonologi dan Perubatan Pernafasan di Fakulti Perubatan, Universitas Indonesia (UI), Prof Tjandra Yoga Aditama meminta agar orang ramai untuk tidak berasa ragu-ragu mengambil vaksin Sinovac China walaupun belum diiktiraf oleh Singapura.

Menurut Aditama keputusan Singapura untuk tidak memasukkan Sinovac ke dalam daftar vaksinasi negara itu adalah langkah yang mesti dipatuhi kerana setiap negara mempunyai kebolehan tersendiri untuk menangani wabak Covid-19.

Aditama turut berharap agar keputusan Singapura itu tidak akan mempengaruhi pendapat rakyat Indonesia mengenai pemberian vaksin itu kerana sebahagian besar suntikan vaksinasi di negara berkenaan menggunakkan vaksin Sinovac.

Untuk mengatasi kenaikan jangkitan kes baharu, pemerintah Indonesia turut mengarahkan pentadbiran di peringkat daerah mempercepatkan program vaksinasi kepada penduduk. – Agensi

POPULAR