
Sebuah klinik vaksinasi cacar monyet di Kanada, yang telah melaporkan kes virus tersebut. - Gambar Reuters
Terdapat lebih daripada 1,000 kes cacar monyet dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang terus menular di luar negara-negara di Afrika di mana ia lebih kerap merebak.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata risiko cacar monyet yang berlaku di negara bukan endemik ini adalah nyata, tetapi ketika ini ianya masih boleh dicegah.
Dua puluh sembilan negara telah melaporkan kes cacar monyet, yang bermula pada bulan Mei. Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Pada taklimat media di Geneva, Dr Tedros juga berkata terdapat lebih 1,400 kes disyaki cacar monyet tahun ini di Afrika dengan 66 kematian.
“Ia adalah sesuatu yang malang bagi dunia yang kini terpaksa memberi perhatian kepada cacar monyet kerana ia telah muncul di negara berpendapatan tinggi,” tambahnya.
Beliau berkata wabak itu menunjukkan tanda-tanda penularan di dalam komuniti di beberapa negara.
WHO mengesyorkan orang yang menghidap cacar monyet diasingkan di rumah, katanya.
Ketua teknikal bagi cacar monyet WHO Dr Rosamund Lewis, berkata “hubungan rapat interpersonal” adalah cara utama cacar monyet merebak, walaupun beliau menambah bahawa risiko penularan aerosol belum diketahui sepenuhnya.
Pekerja kesihatan yang menjaga pesakit cacar monyet harus memakai pelitup muka, katanya.
Kes masih kebanyakannya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, kata WHO, walaupun ada kes dalam kalangan wanita yang telah dilaporkan.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang bekerjasama dengan organisasi termasuk UNAids dan kumpulan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan menghentikan penularan.
Pemberian vaksin selepas terdedah, termasuk untuk pekerja kesihatan atau kenalan rapat, dan pasangan seksual – idealnya dalam tempoh empat hari selepas pendedahan – boleh dipertimbangkan untuk sesetengah negara, tambah WHO.
Vaksin yang digunakan direka untuk melawan cacar, virus berkaitan yang lebih berbahaya yang telah dihapuskan oleh dunia pada 1980, tetapi juga turut berfungsi untuk melindungi daripada cacar monyet.
Pegawai kanan WHO Sylvie Briand berkata agensi itu sedang menilai potensi vaksin yang disimpan untuk melawan cacar dan menghubungi pengeluar serta negara yang sebelum ini telah mengikrarkan vaksin. – Agensi