
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lebih 100 juta orang dihalau dari rumah mereka di seluruh dunia, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mendedahkan data terbaharu tersebut pada Isnin dengan kebanyakkan mereka diusir daripada kediaman sendiri akibat keganasan, konflik, penganiayaan dan pencabulan hak asasi manusia.
Perang Ukraine menjadi salah satu faktor mendorong berjuta-juta orang melarikan diri, kata UNHCR, sambil menambah konflik yang berlarutan di negara seperti Ethiopia dan Republik Demokratik Congo juga menyumbang kepada jumlah tinggi tersebut.
“Ia adalah rekod yang tidak sepatutnya berlaku,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi dalam satu kenyataan yang dihantar kepada wartawan.
“Perkara ini mesti menjadi satu panggilan kecemasan untuk semua pihak menyelesaikan dan mencegah konflik yang merosakkan, menamatkan penganiayaan, dan menangani punca sebenar sehingga memaksa orang yang tidak bersalah meninggalkan rumah mereka.”
Data UNHCR termasuk pelarian, pencari suaka dan mereka yang dipindahkan di dalam negara mereka sendiri.
Minggu lalu, sebuah badan kemanusiaan berkata mereka yang kehilangan tempat tinggal di negara mereka sendiri sudah mencapai rekod hampir 60 juta orang menjelang akhir tahun lalu.
Grandi menggesa tindakan segera untuk menangani punca ramai kehilangan tempat tinggal dan berkata bantuan kemanusiaan hanya merawat akibatnya.