Laut China Selatan: AS terbit ‘kertas putih’ tuntutan salah Beijing

January 14, 2022 · Dunia

Amerika Syarikat (AS) pada Rabu (12 Januari 2022) membentangkan kes paling terperinci berhubung tuntutan ‘melanggar undang-undang’ oleh Beijing ke atas Laut China Selatan, menolak kedua-dua teori geografi dan sejarah dikemukakan China di atas petanya.

Dalam kertas penyelidikan setebal 47 muka surat, China dilaporkan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa untuk membuat tuntutan itu hingga menyebabkan pertindihan dan pertembungan Beijing dengan Filipina, Vietnam dan negara Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia.

Kertas penyelidikan itu disediakan Biro Lautan dan Hal Ehwal Alam Sekitar Antarabangsa dan Saintifik Jabatan Negara AS.

“Kesan keseluruhan tuntutan maritim ini ialah bahawa PRC secara tidak sah menuntut kedaulatan atau beberapa bentuk bidang kuasa eksklusif ke atas sebahagian besar Laut China Selatan,” kata kertas itu, menggunakan akronim PRC untuk Republik Rakyat China.

“Tuntutan ini amat menjejaskan kedaulatan undang-undang di lautan dan banyak peruntukan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal dinyatakan dalam Konvensyen,” katanya, merujuk kepada Perjanjian 1982 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai undang-undang laut yang diratifikasi oleh China – tetapi tidak oleh AS.

Sehubungan itu, Jabatan Negara dalam satu kenyataan menggesa semula Beijing “untuk menghentikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan paksaan di Laut China Selatan”.

Kertas itu adalah edisi kemas kini kajian sama dilakukan pada 2014 yang mempertikaikan apa yang dipanggil “garisan sembilan sempang” (nine-dash line) yang menjadi asas kepada kebanyakan pendirian dan tuntutan Beijing.

Beijing digesa menghentikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan paksaan di Laut China Selatan.

Pada 2016, Mahkamah Antarabangsa memihak kepada Filipina dalam aduannya berhubung tuntutan China. Beijing membalas dengan menawarkan justifikasi baharu, termasuk mengatakan bahawa China mempunyai “hak bersejarah” ke atas kawasan itu.

Kertas Jabatan Negara berkata tuntutan berasaskan sejarah seperti itu “tiada asas undang-undang” dan China tidak menawarkan butiran khusus.

Ia juga membangkitkan isu tuntutan China yang menggunakan justifikasi geografi, dengan mengatakan bahawa lebih daripada 100 ciri tuntutan Beijing di Laut China Selatan ditenggelami semasa air pasang dan oleh itu “melampaui had yang sah di wilayah laut mana-mana negara”.

Beijing memetik ciri-ciri geografi sedemikian untuk menuntut empat “kumpulan pulau”, yang menurut kajian Jabatan Negara tidak memenuhi kriteria untuk garis dasar di bawah Konvensyen PBB.

Empat kumpulan pulau itu menurut China ialah Dongsha Qundao; Xisha Qundao; Zhongsha Qundao; dan Nansha Qundao.

Dongsha Qundao adalah Pulau Pratas yang kini menjadi Taman Laut Taiwan, turut merangkumi Terumbu Pratas, Tebing Vereker Utara, dan Tebing Vereker Selatan.

Sementara Xisha Qundao adalah Kepulauan Paracel yang mengandungi kira-kira dua dozen pulau kecil dan batuan lain yang tenggelam ketika air pasang.

Zhongsha Qundao pula adalah Terumbu Scarborough, Tebing Macclesfield, dan batuan lain yang tenggelam ketika air pasang, seperti Beting Saint Esprit, dan Beting Helen di utara; Beting Constitution (tengah); serta Tebing Dreyer di selatan.

Manakala, Nansha Qundao adalah Kepulauan Spratly, yang mengandungi kira-kira 40 pulau kecil dengan keluasan kira-kira dua kilometer persegi, selain 150 batuan yang timbul ketika air surut, seperti Beting James dan Beting Vanguard.

Nansha Qundao adalah tuntutan terbesar PRC yang meliputi wilayah maritim seluas kira-kira 351,000 kilometer persegi.

Selain itu, tidak ada badan undang-undang antarabangsa yang berasingan yang menyokong pendirian China bahawa mereka boleh memasukkan keseluruhan kumpulan pulau itu ke dalam garis pangkal lurus ‘nine dash line’.

Empat kumpulan pulau menurut Beijing adalah wilayah China ialah Dongsha Qundao; Xisha Qundao; Zhongsha Qundao; dan Nansha Qundao.

China menegaskan tuntutan ke atas perairan, wilayah, zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua hanya berdasarkan kononnya negara itu mengawasi kumpulan pulau-pulau berkenaan.

Tuntutan itu tidak dibenarkan undang-undang antarabangsa yang menyatakan luas zon maritim ke arah laut mesti diukur dari garis pangkal yang ditetapkan secara sah, yang biasanya merupakan garisan air rendah di sepanjang pantai.

Kertas Jabatan Negara itu dikeluarkan ketika AS semakin mencabar China pada peringkat global, mengenal pasti kuasa komunis yang semakin meningkat sebagai ancaman jangka panjang utamanya.

Pada 2020, Setiausaha Negara ketika itu Mike Pompeo secara jelas menyokong tuntutan negara-negara Asia Tenggara di Laut China Selatan, melangkaui pendirian AS sebelum ini yang mencabar China tanpa memperjuangkan isu mengenai negara mana yang betul.

Laut China Selatan adalah titik penting kepada simpanan minyak dan gas yang berharga serta laluan perkapalan, dan jiran Beijing sering menyuarakan kebimbangan bahawa China sedang berusaha untuk memperluaskan jajahannya. – AFP

Berita berkaitan
Apa pendirian sebenar kerajaan berkaitan ideologi LGBT? soal PAS kepada Anwar
September 25, 2023· Politik
Harimau Malaya berjaya ikat China 1-1
September 9, 2023· Isu semasa
Bursa ditutup rendah hari kedua berturut-turut
July 18, 2023· Isu semasa
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar
July 17, 2023· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Mangsa maut gempa bumi di Maghribi cecah 2,800 orang
September 12, 2023 · Dunia
Suhu dunia rekod hari paling panas
July 5, 2023 · Dunia
Gunung Semeru di Indonesia meletus, muntahkan abu
June 22, 2023 · Dunia
Letusan gunung berapi di Filipina punca penduduk jatuh sakit
June 19, 2023 · Dunia
Suhu bumi paling panas direkodkan awal Jun
June 16, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Anwar kena tenang tak perlu agresif, Pelangai tetap pilih PN
4 jam lalu
[VIDEO] Malaysia macam negara miskin sejak Anwar Ibrahim jadi PM
5 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok