Laporan Gray: PM Britain berdepan sekali lagi gesaan letak jawatan

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sekali lagi berdepan kritikan hebat dan gesaan supaya meletak jawatan, susulan laporan penjawat awam kanan mendapati terdapat pesta alkohol di pejabat dan kediamannya ketika perintah penutupan atau ‘lockdown’ dikuatkuasakan akibat penularan Covid-19 di negara itu.

Laporan oleh Sue Gray berkaitan ‘pesta’ ketika ‘lockdown’ itu – ketika rakyat Britain dilarang daripada menghadiri acara pergaulan sosial di tengah-tengah pandemik coronavirus – menunjukkan ‘kegagalan serius dalam kepimpinan’ kerajaan Britain.

Gray turut mengecam beberapa tingkah laku dalam kerajaan sebagai “sukar untuk dibenarkan”, sambil mengatakan “pengambilan alkohol secara berlebihan tidak sesuai di tempat kerja profesional pada bila-bila masa”.

“Sesetengah acara tidak sepatutnya dibenarkan berlaku,” katanya. “Acara lain tidak sepatutnya dibenarkan berterusan seperti yang berlaku.”

Bagaimanapun, Gray berkata beliau hanya boleh memperincikan empat daripada 16 kejadian yang dipersoalkan kerana bimbang mengenai prejudis terhadap siasatan berasingan dijalankan polis.

Pejabat Johnson berkata Gray akan diminta mengemas kini laporannya sebaik sahaja siasatan polis selesai dan ia akan diterbitkan.

‘Skandal’ itu menjadi ancaman paling besar buat Johnson ketika memegang jawatan Perdana Menteri, tatkala cara beliau menangani masalah Covid-19 dipertikai. Pemimpin pembangkang dan sesetengah daripada Ahli Parlimen (MP) Konservatif menggesa beliau meletak jawatan.

Susulan penerbitan laporan Gray, Johnson terpaksa memberi penjelasan dan jawapan selama hampir dua jam di Parlimen pada Isnin. Beliau memohon maaf sekali lagi dan berjanji akan melakukan perubahan di pejabatnya.

“Saya minta maaf. Saya faham dan saya akan memperbetulkannya,” katanya dalam perbahasan yang riuh rendah, apabila dia dicabar oleh beberapa MP Konservatif.

Seorang MP Konservatif Aaron Bell, menahan air mata ketika menceritakan pengebumian yang diadakan untuk neneknya ketika ‘lockdown’ akibat Covid-19 dikuatkuasakan.

“Dia seorang wanita yang hebat… saya memandu selama tiga jam… hanya 10 orang di majlia pengebumian. Ramai orang yang menyayanginya terpaksa menonton dalam talian. Saya tidak memeluk adik-beradik saya. Saya tidak memeluk ibu bapa saya. Adakah perdana menteri fikir saya bodoh?,” katanya.

Johnson kemudian meminta maaf secara peribadi kepada MP Konservatif pada mesyuarat di Parlimen. Beliau berjanji untuk membuat perubahan bukan sahaja kepada pasukannya tetapi kepada cara dia terlibat dengan partinya, selain berusaha untuk memenangi beberapa pihak yang mengancam untuk menggulingkannya.

Kata-katanya disambut dengan sedikit sorakan, dan beberapa penyokong berkata ancaman undi tidak percaya telah berkurangan.

Tetapi ahli politik pembangkang Britain menunjukkan sedikit sahaja simpati terhadap Johnson.

Keir Starmer, ketua pembangkang utama Parti Buruh, menuduh Johnson menyalahkan orang lain kecuali dirinya sendiri dan sekali lagi memintanya meletak jawatan.

“Tidak ada keraguan bahawa perdana menteri sendiri kini tertakluk kepada siasatan jenayah,” kata Starmer kepada Parlimen.

Pemimpin Parti Kebangsaan Scotland, Ian Blackford, terpaksa meninggalkan Parlimen selepas menuduh Johnson mengelirukan Dewan, satu kesalahan yang mana perdana menteri dijangka meletak jawatan.

Tinjauan pendapat mengejut oleh Opinium terhadap lebih 1,000 individu dewasa British mendapati 62 peratus kini mahu Johnson meletak jawatan dengan 83 peratus menganggap beliau telah melanggar peraturan sekatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR