Lapan jemaah Thailand tiba dari Makkah positif Omicron

Lapan jemaah umrah Thailand disahkan positif varian Omicron setelah pulang dari mengerjakan umrah di Makkah, Arab Saudi, semalam, dan menjalani kuarantin wajib di sebuah hospital di Bangkok.

Jangkitan itu melibatkan dua kumpulan jemaah yang tiba dari Makkah di Bangkok dan Phuket serta semua mereka ditempatkan di kemudahan kuarantin disediakan.

Penasihat Majlis Pusat Islam Thailand, Preeda Chueaphudee memaklumkan seramai 30 rakyat Thailand yang baru pulang menunaikan ibadah umrah tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 15 Disember lalu.

“Keputusan ujian Covid-19 mengesan tujuh sampel positif melibatkan varian Omicron. Semua lapan kes Omicron adalah kes import dan pesakit sedang menjalani kuarantin dan orang ramai tidak perlu panik,” jelasnya.

Sementara itu, pegawai kesihatan awam Phuket, Dr Kusak Kukiatkul turut mengesahkan seorang lagi jemaah umrah Thailand yang tiba di Phuket disahkan positif varian sama selepas pulang dari Mekah pada 13 Disember lalu.

Katanya, lima daripada 137 jemaah yang tiba di Phuket disahkan positif Covid-19.

Pesakit yang mempunyai gejala ringan dan tidak bergejala akan dibenarkan pulang namun akan dipantau dan diletakkan di bawah pengawasan rapi.

Bagaimanapun, pada 17 Disember lalu, keputusan ujian penjujukan genom menunjukkan satu daripada lima pesakit Covid-19 positif varian Omicron.

Ketua pejabat kesihatan daerah Pattani, Dr Anurak Sarapap turut mengesahkan lelaki itu tiba dari Makkah dan kemudian meneruskan perjalanan ke Pattani.

“Ianya kes pertama Omicron yang dikesan di wilayah itu dan pesakit itu kini dirawat di Hospital Khok Pho di Pattani,” jelasnya.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan kira-kira 57 rakyat Thailand yang pulang dari Malaysia juga sedang menjalani kuarantin.

“Dan tiada kes melibatkan Omicron dikesan dalam kalangan mereka,” ujarnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR