
Indonesia memperketatkan semula prosedur operasi standard Covid-19 bagi pelancong asing dan rakyat tempatan yang memasuki negara itu mulai 17 Julai 2022. - Gambar Reuters
Kerajaan Indonesia bertindak pantas dalam menangani penularan Covid-19 semasa, apabila mengemaskinikan semula peraturan baharu kepada pelancong antarabangsa, termasuk warga Indonesia, yang memasuki negara itu, berkuat kuasa pada 17 Julai.
Keperluan baharu itu ialah pekeliling kerajaan yang ditandatangani pemangku Ketua Direktorat Kementerian Pengangkutan Nur Isnin Istiartono pada 8 Julai, yang turut menetapkan 16 lapangan terbang sebagai pintu masuk rasmi ke Indonesia.
Pengembara akan dikehendaki menggunakan aplikasi pengesanan Covid-19 Indonesia PeduliLindungi dan mematuhi protokol kesihatan.
Mengikut peraturan itu, pengembara domestik yang telah menerima suntikan dos penggalak mereka tidak perlu mengambil ujian sebelum berlepas.
Selebihnya mesti membuktikan keputusan ujian antigen pantas negatif sekurang-kurangnya 24 jam sebelum berlepas atau ujian PCR negatif dalam tempoh tiga hari.
Kedua-dua – warga Indonesia dan warga asing – mesti menunjukkan bukti vaksinasi dos kedua sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berlepas dalam bentuk fizikal atau digital, ditulis dalam bahasa Inggeris selain daripada bahasa ibunda masing-masing.
Pengembara Indonesia yang belum divaksinasi akan diberi vaksin di pintu masuk, manakala mereka yang menunjukkan simptom jangkitan akan menjalani kuarantin sebelum ujian dilakukan selepas empat hari, di mana hasilnya mesti negatif.
Orang ramai masih diwajibkan memakai pelitup muka di kawasan sesak, terutamanya di bandar yang kadar jangkitannya lebih tinggi.
Kementerian Kesihatan Indonesia sebelum ini melaporkan jangkitan baharu Covid-19 mencatat purata lebih daripada 2,000 kes setiap hari bulan ini, meningkat lebih dua kali ganda kadar jangkitan pada Jun, walaupun kematian harian kekal pada satu digit.
Lapan puluh satu peratus daripada jumlah kes Covid-19 di Indonesia adalah sub-varian BA.4 dan BA.5, manakala 100 peratus daripada kes di Jakarta ialah BA.4 dan BA.5.
Sementara itu, 16 pintu masuk itu terdiri daripada Lapangan Terbang Soekarno-Hatta; Juanda (Surabaya); I Gusti Ngurah Rai (Bali); Hang Nadim (Kepulauan Riau); Raja Haji Fisabilillah (Kepulauan Riau); Sam Ratulangi (Sulawesi Utara); Zainuddin Abdul Madjid (Nusa Tenggara Barat); Kualanamu (Sumatera Utara); dan Sultan Hasanuddin (Sulawesi Selatan).
Lapangan terbang termasuk Yogyakarta; Sultan Iskandar Muda (Aceh); Minangkabau (Sumatera Barat); Sultan Mahmud Badaruddin II (Sumatera Selatan); Adisumarmo (Jawa Tengah); Syamsuddin Noor (Kalimantan Selatan); dan Sultan Aji Muhammad Sulaiman, Sepinggan (Kalimantan Timur).
Pengembara asing yang belum divaksin yang tiba di pintu masuk dan ingin meneruskan penerbangan luar negara mereka tidak perlu menunjukkan sijil vaksin selagi mereka tidak keluar dari lapangan terbang.
Pengembara asing di bawah umur 18 tahun dan pengembara yang telah menamatkan pengasingan atau rawatan Covid-19 dan telah pulih tetapi tidak layak menerima vaksinasi dos kedua tidak perlu menunjukkan sijil vaksin. Bagaimanapun, ini hanya dibenarkan jika mereka telah mendapat nota doktor.
Pengembara dengan komorbiditi yang tidak dibenarkan menerima suntikan vaksin tidak perlu menunjukkan sijil vaksin mereka. – Agensi