Lagi rekod tertinggi kematian di Indonesia hari ini

Kes kematian di Indonesia hari ini.

Indonesia hari ini mencatatkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan Covid-19 mengatasi rekod yang dilaporkan pada Isnin lalu (19 Julai 2021) sebanyak 1,338 kes.

Dalam tempoh 24 jam lalu, negara itu mencatatkan 1,383 kematian baharu dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital seluruh negara itu.

Bagaimanapun pakar epidemiologi mendakwa angka kematian sebenar akibat Covid-19 di Indonesia mungkin tiga kali ganda daripada yang dilaporkan.

Pakar Epidemiologi Universiti Griffith University , Dicky Budiman berkata Indonesia mencatat jumlah kematian tertinggi di seluruh negara Asean dan berada di tangga pertama di Asia.

Beliau berkata, angka kematian adalah petunjuk sah pengurusan Covid-19 di negara dan wilayah tertentu.

Katanya, jumlah kematian sebenar Indonesia adalah tiga kali ganda daripada jumlah yang dilaporkan di mana setakat ini lebih 74,900 kematian yang disahkan.

“Indonesia harus merujuk kepada definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung kematian Covid-19 dan melaksanakannya di negara ini untuk kepentingan kita sendiri.

“Sementara itu, kita tidak mengira (kematian orang dengan) status yang mungkin atau disyaki. Sekiranya kita mengira semuanya, kita mungkin mendapati ia adalah tiga kali lebih banyak,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Indonesia turut melaporkan kes positif sepanjang 24 jam lalu mencecah 33,773 – angka yang menunjukkan penurunan kes baharu.

Kes positif itu dikesan hasil ujian spesimen ke atas 153,330 individu. Indonesia sekarang ini mempunyai 549,694 kes aktif Covid-19.

Wilayah yang melaporkan jangkitan tertinggi ialah Jawa Barat dengan 5,950 kes diikuti Jakarta (5,904), Jawa Tengah (4,253), Jawa Timur (3,859), Banten (1,903), Yogyakarta (1,648), Nusa Tenggara Timur (1,249), and Bali (1,111). – Agensi

POPULAR