Kunduz bandar ketiga ditawan Taliban dalam tempoh tiga hari

Kunduz, bandar dan wilayah di utara Afghanistan, dilaporkan jatuh ke tangan Taliban hari ini, sekali gus menjadi wilayah ke tiga ditawan kumpulan militan itu dalam tempoh tiga hari.

Dalam kenyataan hari ini jurucakap Taliban berkata mereka telah menawan ibu pejabat polis, pejabat kerajaan dan penjara di bandar itu.

Jumaat lalu, Taliban merampas ibu kota wilayah Zaranj di Nimroz, diikuti sehari berikutnya menawan Sheberghan di Jawzjan.

Ahli Majlis Wilayah Kunduz, Amruddin Wali berkata pertempuran sengit berlaku antara anggota Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan sejak semalam.

Semua ibu pejabat kerajaan telah ditawan oleh Taliban. Hanya pangkalan tentera dan lapangan terbang masih dikawal pasukan keselamatan, katanya.

Wilayah itu pernah jatuh ke tangan Taliban pada 2015 dan 2016 lalu.

Serangan Taliban telah meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini, ketika mereka menggerakan anggota ke seluruh Afghanistan susulan langkah Amerika Syarikat (AS) menamatkan misi ketenteraannya di negara itu.

Kementerian Pertahanan Afghanistan melaporkan pesawat B-52 AS mengebom penempatan Taliban di Sheberghan.

Kementerian itu juga mengeluarkan video yang menunjukkan komando Afghanistan dan pasukan keselamatan meningkatkan operasi di wilayah itu sejak 24 jam lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR