Kritikan terhadap Sinovac boleh rosakkan hubungan baik, kata China

China memaklumkan tindakan mengkritik vaksin keluaran negara itu, Sinovac, boleh merosakkan hubungan baik Beijing yang ingin membantu Bangkok dalam usaha membanteras penularan wabak Covid-19.

Melalui akaun Facebook miliknya, Kedutaan China di Thailand menjelaskan setiap dos vaksin yang telah diberikan negara republik itu kepada Thailand secara umumnya menunjukkan hubungan persahabatan dan ketulusan Beijing kepada seluruh rakyat Thailand.

Vaksin Sinovac telah dipersetujui untuk digunakan bagi merawat dan mencegah Covid-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand (FDA) berdasarkan hasil ujian klinikal yang dilaksanakan, katanya.

China yang merupakan pencipta vaksin Sinovac sedang melakukan kajian lebih terperinci sekiranya vaksin tersebut berkesan untuk varian baharu Covid-19.

“Vaksin ini sangat berkesan untuk melindungi daripada Covid-19,” kata Kedutaan China

Dipetik dari hasil kajian Kementerian Kesihatan Chile dan Kerajaan Indonesia pada Ogos lalu, keberkesanan Sinovac mencapai tahap 86 peratus dan 95 peratus dalam melawan varian baharu yang bermutasi, dan ini membuktikan bahawa vaksin itu berkualiti tinggi.

“Kedutaan China mendesak orang ramai untuk menghentikan spekulasi bahawa Sinvoac kurang berkesan kerana ia dapat mengurangkan penggunaan vaksin ini dalam rawatan serta memesongkan pandangan orang ramai mengenai keberkesanannya,” kata kedutaan itu.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Don Pramudwinai menegaskan isu maklumat palsu yang disampaikan oleh pihak pembangkang dalam perdebatan mengenai vaksin ini, dapat mengelirukan orang ramai mengenai keupayaan Sinovac dalam melawan jangkitan Covid-19.

Ttindakan itu dibimbangi akan merosakkan hubungan baik Thailand-China.

Pramudwinai menjelaskan Sinovac telah digunakan oleh 39 buah negara di seluruh dunia dan usaha untuk menolaknya akan memberi kesan buruk kepada hubungan baik yang terjalin antara dua buah negara itu.

“Terdapat sebilangan maklumat yang dikemukakan oleh pihak pembangkang mengenai kualiti vaksin Sinovac telah mengandungi percanggahan fakta daripada yang sepatutnya,” tambahnya.

Ini kerana, Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dan Wakil Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul dituduh oleh pihak pembangkang, salah membuat keputusan dan percaturan dalam pemilihan vaksin.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini melaporkan 15,452 kes baharu, dan 224 kematian akibat Covid-19 yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Sejak 1 April lalu, Thailand telah memberikan rawatan kepada hampir satu juta rakyatnya iaitu sebanyak 1,251,671 pesakit dan 1,088,148 daripadanya telah sembuh sepenuhnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR