
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberitahu Dewan Rakyat negara itu mengenakan sekatan terhadap lima bank Russia setelah Moscow mengiktiraf dua wilayah di Ukraine sebagai negara meredka, hari ini. - Gambar AP
United Kingdom (UK) hari ini mengenakan sekatan ke atas lima bank dan membekukan aset tiga individu, termasuk jutawan Gennady Timchenko, selepas Presiden Russia Vladimir Putin mengiktiraf dua wilayah yang memisahkan diri di timur Ukraine.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberitahu Dewan Rakyat bahawa tindakan itu adalah peringkat pertama daripada pakej sekatan, sebagai tindak balas kepada tentera Russia yang mula memasuki dua wilayah pemisah di Ukraine.
“Kami akan mengenakan sekatan selanjutnya,” kata Johnson kepada Ahli Parlimen, sambil memberi amaran tentang “krisis yang berlarutan” di Ukraine.
Lima bank Russia terbabit ialah Rossiya, IS Bank, General Bank, Promsvyazbank dan Black Sea Bank.
Boris juga berkata sekatan akan dikenakan ke atas Timchenko, Boris Rotenberg dan Igor Rotenberg iaitu tiga individu yang ‘mempunyai nilai bersih yang sangat tinggi’.
“Mana-mana aset yang mereka pegang di UK akan dibekukan, individu berkenaan akan dilarang daripada melancong ke sini, dan kami akan melarang semua individu dan entiti UK daripada mengadakan sebarang urusan dengan mereka,” kata Johnson.
Timchenko ialah pemegang saham utama di Rossiya, manakala keluarga Rotenberg disifatkan oleh Pejabat Luar sebagai mempunyai hubungan rapat dengan Putin.
Boris Rotenberg ialah pemegang saham utama SMP Bank, manakala Igor adalah ahli perniagaan dan pelabur dalam sektor pengangkutan Russia.
Johnson berucap di hadapan Dewan Rakyat selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tergempar COBRA kerajaan pada jam 6.30 pagi tadi.
Putin pada malam Isnin mengiktiraf dua kawasan pemisah di timur Ukraine sebagai negara merdeka dan mengarahkan tentera Russia untuk menjalankan tugas ‘menjaga keamanan’ di wilayah Donetsk dan Luhansk.
Johnson memberi amaran bahawa Putin ‘berhasrat untuk menyerang Ukraine secara besar-besaran.
Perdana Menteri Britain itu berkata Ruasia dan Putin kini dengan jelas melanggar kedaulatan Ukraine dan benar-benar merobek undang-undang antarabangsa.
Downing Street berkata sekatan baharu UK terhadap Russia adalah sebahagian daripada pendekatan yang diselaraskan terhadap krisis Ukraine bersama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, Jerman mengumumkan ia telah menghentikan kelulusan saluran paip gas Nord Stream 2, di dasar Laut Baltik dari Russia ke Jerman, sebagai tindak balas kepada keputusan Putin terhadap Ukraine.
Johnson sebelum ini kerap menggesa Eropah untuk menamatkan pergantungan ekonomi mereka kepada gas dan minyak Russia.
Duta Rusia ke UK telah dipanggil ke Pejabat Luar pada pagi Selasa. – Agensi