
Serangan Russia ke atas Ukraine yang masuk hari kelima bakal mencetuskan peningkatan harga bahan bakar global. - Gambar AFP
Singapura menjangkakan harga runcit petrol, diesel dan kos elektrik untuk isi rumah dan perniagaan, bakal meningkat, susulan lonjakan kos tenaga global berikutan krisis Russia-Ukraine sejak lima hari lalu, kata Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong.
“Satu bidang utama yang kita (Singapura) akan terjejas dengan ketara susulan konflik di Ukraine ialah kos tenaga, kerana kita mengimport sebahagian besar keperluan tenaga,” katanya Gan di Parlimen ketika perbahasan Belanjawan 2022, hari ini (28 Februari 2022).
“Kita telah melihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini kenaikan harga minyak dan gas asli global, yang mana Russia merupakan pengeksport utama,” tambahnya.
Harga gas asli cecair (LNG) meningkat dua kali ganda daripada enam bulan lalu, katanya, dan penanda aras minyak mentah Brent melonjak kepada AS$100 setong beberapa hari lalu.
“Oleh itu, pemandu mesti menjangkakan harga pam bagi petrol dan diesel di sini akan meningkat mengikut masa. Kadar elektrik untuk kedua-dua perniagaan dan isi rumah juga akan meningkat seiring dengan peningkatan kos tenaga global,” kata Gan.
“Ini sudah pasti akan memberi kesan kepada rakyat Singapura dan seterusnya meningkatkan kos sara hidup di sini.”
Krisis itu juga akan menjejaskan lagi rantaian bekalan global kerana Russia dan Ukraine merupakan pengeksport utama komoditi seperti gandum, serta logam seperti nikel dan paladium, kata Gan.
Gangguan bekalan seterusnya akan menaikkan harga barangan yang menggunakan komoditi ini, tambahnya.
Sebagai contoh, gangguan dalam bekalan nikel (unsur logam berwarna putih keperakan) boleh menjejaskan pengeluaran keluli tahan karat, dan gangguan kepada bekalan paladium akan menjejaskan industri semikonduktor, kata Menteri Perdagangan dan Industri itu.
“Kita juga mesti bersedia untuk kesan susulan terhadap aliran perdagangan dan pelaburan. Konflik yang berlarutan akan menjejaskan keyakinan perniagaan dan membebankan ekonomi global, dan memberi kesan kepada pemulihan daripada wabak Covid-19,” kata Gan.
‘Penilaian awal’ kerajaan ialah kesan segera dan langsung pencerobohan ke atas Ukraine terhadap ekonomi dan perniagaan Singapura ‘boleh diurus buat masa ini’, katanya.
Tidak banyak syarikat Singapura berada di Ukraine, dan ia tidak mengimport banyak bekalan penting dari negara itu dan rantau ini, katanya.
Untuk menguruskan risiko rantaian bekalan, terutamanya barangan keperluan harian, Singapura telah mempelbagaikan importnya dan mewujudkan stok simpanan.
Negara ini juga mengeluarkan barangan tempatan yang berdaya maju, dan bekerjasama dengan pengimport dan peruncit utama untuk meningkatkan bekalan daripada sumber alternatif jika perlu.
“Jangan silap bahawa walaupun Ukraine kelihatan jauh dari Singapura, konflik di sana akan memberi kesan nyata dan ketara kepada kita semua,” katanya kepada Parlimen.
Terdahulu di Parlimen, Menteri Luar Negeri Vivian Balakrishnan mengumumkan bahawa Singapura akan mengenakan sekatan ke atas Russia kerana menceroboh Ukraine.
Langkah itu termasuk mengenakan kawalan eksport ke atas barangan yang boleh digunakan secara langsung sebagai senjata di Ukraine, dan menyekat bank Russia dan transaksi kewangan tertentu yang berkaitan dengan Russia, katanya. – CNA