Krisis ekonomi, rakyat Sri Lanka bertempur dengan tentera

Rakyat Sri Lanka bertempur dengan tentera bersenjata dalam demonstrasi jalanan yang diadakan susulan krisis ekonomi yang semakin teruk dihadapi negara Asia Selatan itu.

Sri Lanka sedang berdepan krisis ekonomi yang menyaksikan rakyat negara itu kekurangan bekalan makanan, bahan api dan keperluan asas lain, keadaan bertambah buruk selepas inflasi semakin meningkat dan bekalan tenaga elektrik turut dipotong.

Keadaan dihadapi rakyat Sri Lanka ketika ini paling buruk pernah berlaku sejak mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1948.

Susulan keadaan tidak menentu tersebut, Presiden Gotabaya Rajapaksa terpaksa melaksanakan darurat pada Jumaat, sehari selepas orang ramai cuba menyerbu rumahnya di ibu negara Colombo dan perintah berkurung di seluruh negara berkuatkuasa sehingga pagi Isnin.

Samagi Jana Balawegaya (SJB), gabungan pembangkang utama di Sri Lanka mengecam keras sekatan media sosial dan mendesak supaya kerajaan sedia ada berundur.

“Presiden Rajapaksa lebih baik menyedari gelombang ombak sudah mematikan pemerintahan autokratiknya,” kata Ahli Parlimen SJB Harsha de Silva dipetik agensi berita AFP.

Tentera bersenjatakan senapang serangan automatik digerakkan untuk menyekat orang ramai yang berdemonstrasi.

Demonstrasi tersebut didalangi Ahli Parlimen pembangkang dan ratusan penyokong berarak menuju ke Dataran Kemerdekaan ibu negara tersebut.

Jalan ditutup beberapa ratus meter dari rumah ketua pembangkang Sajith Premadasa dan tercetus pergaduhan antara orang ramai dengan pasukan keselamatan.

Eran Wickramaratne, seorang lagi penggubal undang-undang SJB, mengecam pengisytiharan darurat dan kehadiran tentera yang berkawal di jalan raya.

BERITA BERKAIT
POPULAR