Krisis bahan api: Sri Lanka tutup pejabat kerajaan, sekolah dua minggu

June 18, 2022 · Dunia

Kerajaan Sri Lanka mengumumkan penutupan semua pejabat kerajaan dan sekolah selama dua minggu susulan hampir kesemua sistem pengangkutan awamnya lumpuh kerana kekurangan dolar Amerika Syarikat (AS) untuk membayar bahan bakar import.

Kementerian Pentadbiran Awam (PAM) negara itu mengarahkan semua jabatan, institusi awam dan majlis tempatan mengekalkan rangka perkhidmatan mulai Isnin sebagai tindak balas terhadap kekurangan petrol dan diesel.

“Disebabkan kekurangan pengangkutan awam serta ketidakupayaan untuk mengatur kenderaan persendirian, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan secara drastik bilangan pekerja yang melaporkan diri ke tempat kerja,” kata kementerian itu.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948, dan tidak dapat membiayai import barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan dan bahan api sejak akhir tahun lalu.

Negara itu juga berdepan rekod inflasi yang tinggi dan penutupan bekalan elektrik yang berpanjangan, semuanya telah menyumbang kepada protes berbulan-bulan – kadang-kadang ganas – menggesa Presiden Gotabaya Rajapaksa berundur.

Awal minggu ini, pihak berkuasa mengisytiharkan Jumaat sebagai cuti, juga dalam usaha untuk menjimatkan bahan api.

Walaupun langkah itu diambil, barisan panjang dilihat di luar stesen minyak pada Jumaat (17 Jun), dengan ramai pemandu berkata mereka telah menunggu selama beberapa hari untuk mengisi tangki mereka.

Kementerian Pendidikan pula berkata semua sekolah telah diminta ditutup selama dua minggu mulai Isnin dan memastikan pengajaran dalam talian jika pelajar dan guru mempunyai akses kepada bekalan elektrik.

Perintah penutupan itu dibuat sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi tindak balas kecemasannya terhadap krisis ekonomi yang belum pernah berlaku di negara pulau itu dengan memberi makan kepada ribuan wanita hamil.

PBB, memberi amaran tentang “krisis kemanusiaan yang mengerikan” dengan jutaan orang memerlukan bantuan.

Program Makanan Sedunia (WFP) berkata ia mula mengedarkan baucar makanan kepada kira-kira 2,000 wanita hamil di kawasan ‘kurang mendapat layanan’ di Colombo sebagai sebahagian daripada “bantuan menyelamatkan nyawa” pada Khamis.

WFP cuba mengumpul AS$60 juta untuk usaha bantuan makanan antara Jun dan Disember. – Agensi

Berita berkaitan
Mat Maslan yakin UMNO tidak berpecah selepas pendedahan Tajuddin
June 29, 2022· Politik
Naib Presiden UMNO yakin kemelut Zahid-Tajuddin selesai secara baik
June 28, 2022· Politik
Puad naik angin dengan Annuar selepas sindir Presiden UMNO
June 27, 2022· Politik
Menteri UMNO tolak cadangan potong gaji, tak selesai harga barang naik
June 25, 2022· Isu semasa
Popular
Russia mungkin serang Sweden, Finland jika NATO hantar tentera
June 30, 2022
Elon Musk lawat Indonesia pada Nov bukan Malaysia selepas dijemput Jokowi
May 16, 2022
Singapura beri amaran kesan buruk, eraksi berpanjangan kopi Pejuang
May 26, 2022
Singapura lapor 11,504 kes Covid-19 hari ini, tertinggi dalam lebih 3 bulan
June 28, 2022
Lagi Dunia terkini
Kes Covid-19 meningkat hampir di seluruh dunia: WHO
8 jam lalu · Dunia
Kes melonjak: Pakar gesa Thailand tangguh isytihar pascapandemik
8 jam lalu · Dunia
Kawalan ketat keselamatan di Hong Kong menjelang lawatan Presiden Xi
11 jam lalu · Dunia
Singapura import ayam dari Indonesia, tambah sumber baharu makanan
11 jam lalu · Dunia
Russia mungkin serang Sweden, Finland jika NATO hantar tentera
June 30, 2022 · Dunia
Video / Foto
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
3 jam lalu
[VIDEO] Marah disaman tiada lesen, langgar kereta JPJ sehingga terbalik
June 30, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok