
Peluru berpandu balistik antara benua jenis baharu Korea Utara dilancarkan, dalam gambar tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh media negara itu pada 24 Mac 2022. - Gambar Reuters
Korea Utara semalam menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pertama sejak November 2017, membatalkan moratorium yang dikenakan sendiri, selain mendapat reaksi keras daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.
Peluru berpandu itu, sekali gus menandakan ‘pertunjukan kekuatan’ kali ke-12 Pyongyang tahun ini, dikesan pada petang Khamis (24 Mac 2022) oleh Korea Selatan dan Jepun.
ICBM adalah peluru berpandu balistik benua ke benua mencapai jarak minimum 5,500 kilometer yang direka, terutama untuk membawa senjata nuklear, dan senjata konvensional lain, termasuk senjata kimia dan biologi.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) dalam satu kenyataan berkata peluru berpandu itu, berkemungkinan ICBM, dilancarkan dari lapangan terbang Sunan Pyongyang pada jam 2.34 petang (waktu Korea) dan terbang kira-kira 1,080km ke arah timur, mencapai ketinggian lebih 6,200km.
Jepun berkata peluru berpandu itu merupakan “jenis baharu” ICBM yang mampu mencapai sasaran di pantai timur AS. Ia terbang kira-kira 1,100km dalam tempoh 71 minit untuk mendarat di dalam zon ekonomi eksklusif Jepun di luar wilayah Aomori utara.
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida mengecam ujian itu sebagai tidak boleh dimaafkan.
“Siri-siri tindakan yang diambil oleh Korea Utara ini mengancam keamanan dan keselamatan negara kita, rantau ini dan masyarakat antarabangsa, dan ia sama sekali tidak boleh diterima,” katanya di Brussels, di mana dia bersedia untuk bertemu pemimpin dunia lain mengenai krisis Ukraine.
Presiden Korea Selatan Moon Jae-in menggelar pelancaran itu sebagai “pelanggaran jelas” terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang “menyebabkan ancaman serius kepada Semenanjung Korea”.
JCS juga telah menyuarakan bantahan dan sebagai tindak balas, mereka menembak peluru berpandu dari tanah, laut dan udara ke arah perairan di pantai timur, bagi menunjukkan kemampuan kepada Korea Utara.
Tentera Korea Selatan mempunyai kebolehan untuk menghancurkan dengan tepat tapak pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada bila-bila masa,” kata JCS. – Agensi