Korea Utara sahkan ujian peluru berpandu taktikal terbaharu

Korea Utara mengesahkan menjalankan ujian senjata keempatnya bulan ini pada Isnin, menembak dua peluru berpandu taktikal – yang terbaru dalam siri ujian senjata walaupun dilarang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Akademi Sains Pertahanan menjalankan ujian peluru berpandu taktikal dari barat negara itu, dan ia “tepat mengenai sasaran pulau” di pantai timur, lapor media Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA), hari ini.

“Ujian itu bertujuan menilai secara selektif peluru berpandu taktikal yang dihasilkan dan digunakan selain untuk mengesahkan ketepatan sistem senjata,” kata KCNA.

“[Ia] mengesahkan ketepatan, keselamatan dan kecekapan operasi sistem senjata yang masih dalam pengeluaran.”

Pelancaran peluru berpandu itu dikesan oleh Jepun dan Korea Selatan, yang mengatakan ujian berkenaan dilakukan di lapangan terbang Pyongyang dan melibatkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat.

Awal bulan ini, Korea Utara dua kali menguji apa yang dikatakan sebagai “peluru berpandu hipersonik” serta peluru berpandu balistik yang dipasang pada kereta api.

Ujian itu menimbulkan kebimbangan antarabangsa, dengan Amerika Syarikat (AS) menggesa agar sekatan yang lebih keras lagi dikenakan menimbulkan kemarahan Pyongyang.

Selepas menghubungi rakan sejawatannya dari Korea Selatan dan Jepun, Wakil Khas AS untuk Korea Utara, Sung Kim, menggesa Pyongyang “menghentikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan mengganggu kestabilan” dan membuka semula dialog. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR