
Korea Selatan dan Amerika Syarikat melancarkan ujian peluru berpandu.
Korea Utara didakwa melancarkan satu lagi ujian peluru berpandu balistik jarak jauh yang ke arah laut di luar pesisir pantai timurnya hari ini, menurut laporan tentera di Korea Selatan dan Jepun, kira-kira seminggu selepas peluru berpandu dilaporkan meletup di udara Pyongyang.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata mereka mengesan “peluru tidak dikenal pasti” yang dilancar dari Korea Utara.
Mereka mendakwa objek itu sebagai peluru berpandu jarak jauh atau peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang ditembak pada trajektori “bertingkat”, lapor agensi berita Yonhap.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Korea Selatan belum lagi mengesahkan sama ada ujian itu melibatkan ICBM, yang tidak pernah diuji pada jarak penuh sejak 2017.
Kerajaan Jepun juga berkata tidak menolak objek yang dilancarkan itu mungkin peluru berpandu balistik.
Pada 16 Mac, Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang meletup di udara sejurus dilancarkan dari Pyongyang, kata tentera Korea Selatan.
Susulan itu, Amerika Syarikat dan Korea Selatan memberi amaran berkemungkinan Korea Utara mungkin sedang bersiap sedia untuk menguji ICBM pada jarak penuh buat kali pertama sejak 2017.
Selepas beberapa ujian baru-baru ini, Pyongyang berkata mereka sedang menguji komponen untuk sistem satelit peninjau.
Pemimpin utamanya, Kim Jong Un berkata Korea Utara tidak lama lagi akan melancarkan beberapa satelit untuk memantau pergerakan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya.
Sekurang-kurangnya sebanyak 13 ujian peluru berpandu balistik sudah dilancar Korea Utara tahun ini sehingga menerima kecaman dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.