Korea Selatan rekod kes terburuk

Korea Selatan menghadapi hari paling buruk dalam penularan wabak Covid-19 semalam, (26 Februari 2021), apabila melaporkan 112 kematian dalam tempoh 24 jam, ketika negara itu menghadapi lonjakan jangkitan yang didorong oleh varian Omicron.

Pihak berkuasa kesihatan melaporkan terdapat 643 pesakit dimasukkan ke hospital dalam keadaan teruk atau kritikal pada Sabtu, meningkat daripada 408 pesakit seminggu sebelumnya.

Lonjakan di Korea Selatan, yang kini antara yang terburuk di dunia, meningkat sejak minggu lalu, mencapai rekod 171,452 kes harian pada Rabu.

Sejak itu, jumlah kes kekal pada tahap tinggi, dengan kerajaan melaporkan 166,207 kes baharu pada Sabtu.

Korea Selatan, sebuah negara dengan kira-kira 50 juta penduduk, kini melaporkan lebih banyak kes setiap hari berbanding Amerika Syarikat (AS), satu perkembangan yang tidak dapat dibayangkan.

Walaupun 86 peratus rakyatnya telah diberi vaksin sepenuhnya, menurut Our World in Data, Korea Selatan telah merekodkan peningkatan 201 peratus dalam purata jumlah kes harian sejak dua minggu lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Korea Selatan Lee Ki-il, kerajaan mempunyai rancangan untuk mendapatkan katil tambahan hospital pada Mac.

Beliau menambah bahawa kerajaan dan komuniti perubatan melakukan yang terbaik untuk “tidak memberikan kesulitan kepada orang ramai”.

Beliau berkata Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea bersedia menerima dan merawat sehingga 2,000 pesakit kes teruk Covid-19.

Kerajaan telah bertindak balas terhadap lonjakan itu dengan memberi tumpuan kepada pengesanan virus dalam kumpulan berisiko tinggi – mereka yang berumur 60-an dan lebih tua, serta individu yang mempunyai komorbiditi – dan hanya merawat kes yang paling kritikal.

Majoriti individu yang diuji positif diminta menjaga diri mereka di rumah. Itu adalah sebahagian daripada pendekatan baharu kerajaan untuk belajar hidup dengan virus itu.

Mulai Mac, mereka yang tinggal bersama individu yang telah diuji positif tidak lagi perlu dikuarantin, tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Sebelum ini, individu yang tidak divaksin dikehendaki menjalani kuarantin selama tujuh hari jika seseorang dalam isi rumah mereka disahkan positif. – NYTimes

BERITA BERKAIT
POPULAR