Korea Selatan rekod 90,443 kes tertinggi, Jepun catat 236 kematian

Korea Selatan dan Jepun hari ini masing-masing merekodkan jangkitan harian dan jumlah kematian tertinggi akibat Covid-19, tatkala varian Omicron terus menular di kedua-dua negara itu.

Agendi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kores (KDCA) melaporkan sebanyak 90,443 jangkitan baharu hari ini, meningkat dua kali ganda dalam tempoh seminggu.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif positif mencecah 1,552,851 kes, sementara jumlah kematian kekal rendah.

Menurut KDCA dalam tempoh 24 jam lalu seramai 39 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19, menjadikan keseluruhannya 7,202 kes kematian dilaporkan sejak wabak itu melanda Korea Selatan awal 2020 lalu.

Negara dengan 52 juta penduduk itu sebelum ini berjaya mencegah penularan Covid-19 hadil daripada perintah pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, ujian saringan dan pengesanan yang agresif.

Tetapi mulai awal bulan ini, pihak berkuasa mengalihkan dasar ujian dan pengesanan, sejajar dengan penyebaran varian Omicron yang kurang membawa maut, ke arah pemantauan kendiri dan diagnosis serta rawatan di rumah.

Perdana Menteri Kim Boo-kyum berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan penjarakan fizikal sekarang.

Katanya, perintah berkurung mulai jam 9 malam bagi retoran, kafe dan bar juga mungkin dilonggarkan.

Setakat ini, lebih 86 peratus daripada populasi Korea Selatan telah lengkap divaksinasi, manakala 58 peratus lagi menerima suntikan dos penggalak.

Sementara itu, Jepun mencatat hari paling ‘menyedihkan’ dalam tempoh dua tahun Covid-19 menular di negara itu apabila 236 pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, tertinggi sejak permulaan pandemik.

Kematian baharu yang direkodkan itu, menurut pengiraan stesen penyiaran nasional NHK, melebihi rekod sebelumnya sebanyak 216 pada 18 Mei tahun lepas, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 20,759 kes.

Jepun menyaksikan lebih daripada 100 kematian setiap hari sejak awal tahun ini, kebanyakannya dalam kalangan penduduk warga emas, di tengah-tengah gelombang jangkitan keenam yang didorong oleh varian Omicron, dengan kumulatif positif kini melebihi empat juta kes.

Negara Matahari Terbit itu mula menunjukkan penurunan dalam kes harian baharu setiap hari, tetapi pakar memberi amaran bahawa kadar kematian mungkin terus meningkat berikutan kewujudan beberapa kluster yang membabitkan warga emas baru-baru ini.

kumpulan jangkitan baru-baru ini di fasiliti warga emas.

“Pertumbuhan bilangan pesakit yang sakit teruk berkemungkinan berterusan untuk sementara waktu,” kata Shigeru Omi, pengerusi jawatankuasa kecil coronavirus kerajaan pada hari Isnin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR