Korea Selatan mansuh larangan tempoh buka restoran, hadir konsert

Korea Selatan memansuhkan semua larangan tempoh operasi restoran dan kafe serta melaksanakan pasport vaksin bagi lokasi yang berisiko tinggi, seperti gimnasium, sauna dan bar, dalam usaha ‘hidup bersama Covid-19’, mulai Isnin ini.

Fasa pertama langkah itu akan berakhir dalam tempoh sebulan, sebelum semua larangan dibatalkan mengikut rancangan pada Februari 2022.

Langkah itu dibuat ketika Korea Selatan masih bergelut dengan jumlah kes harian yang tinggi, walaupun mereka masih jauh di bawah kebanyakan negara yang paling teruk terjejas, dan jangkitan serius serta kematian adalah rendah.

Minggu lalu, negara itu mencapai sasaran vaksinasi apabila 72 peratus daripada 52 juta penduduk lengkap divaksin, dan 79.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, sekali gus membuka jalan untuk kembali hidup seperti biasa

Walaupun tidak pernah melaksanakan perintah penutupan atau ‘lockdown’, Korea Selatan telah memerangi gelombang keempat jangkitan sejak Julai apabila kerajaan mengenakan sekatan ketat bagi perhimpunan dan menguatkuasakan perintah penjarakan sosial.

Acara sukan di tempat terbuka boleh dihadiri hanya 50 peratus penonton dan sehingga 100 orang dibenar hadir pada konsert bergantung kepada status vaksinasi.

Bagaimanapun, orang ramai perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian saringan negatif dalam tempoh 48 jam, jika mengunjungi lokasi berisiko tinggi seperti bar, kelab malam, gimnasium tertutup, sauna dan pusat karaoke.

Semalam, Kores Selatan merekodkan 2,124 kes baharu Covid-19, menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu kepada 360,536 kes dengan 2,817 kematian. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR