
Seorang pekerja perubatan memberi arahan kepada orang ramai untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik sementaradi Seoul, Korea Selatan. - Gambar AP
Korea Selatan hari ini melepasi satu juta kumulatif kes positif Covid-19 sejak pandemik itu bermula, menurut data dikeluarkan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (DCPA) negara itu.
Angka itu diperoleh setelah 38,691 jangkitan baharu dilaporkan hari ini, tatkala varian Omicron Covid-19 terus menular dengan pantas di negara berkenaan.
Data DCPA menunjukkan Korea Selatan mengesahkan kes pertama Covid-19 pada 20 Januari 2020, sebelum menjadi negara pertama di luar China yang memerangi penularannya.
Strategi agresif menjejak, menutup atau ‘lockdown’ terpilih dan mengkuarantin membantu Korea Selatan menumpulkan usaha melawan gelombang awal Covid-19.
Langkah itu mampu mengekalkan kes dan kematian secara keseluruhan pada tahap rendah, tetapi penularan varian Omicron mendorong angka kes kembali ke tahap tertinggi baharu.
Jumlah kematian kekal rendah dengan 15 kematian baharu dilaporkan setakat tengah malam tadi, menurut DCPA.
Kes harian hampir lima kali lebih tinggi daripada dua minggu lalu, apabila varian Omicron mula mendominasi kes positif, tetapi jangkitan serius kekal pada tahap rendah, kata pihak berkuasa.
Pihak berkuasa Korea Selatan pada Jumaat mengumumkan protokol penjarakan fizikal dilanjutkan sekurang-kurangnya dua minggu lagi, termasuk melaksanakan perintah berkurung mulai jam 9 malam untuk perniagaan dan had enam orang untuk perhimpunan persendirian.
Secara keseluruhan, Korea Selatan melaporkan 1,009,688 kes positif Covid-19, dengan 6,873 kematian.
Hampir 86 peratus daripada 52 juta populasi di negara itu telah lengkap divaksinasi dan lebih 54.5 peratus menerima suntikan dos penggalak. – Agensi