Pegawai kesihatan Korea Selatan mengarahkan supaya pusat pembakaran mayat meningkatkan lagi kapasiti pembakaran harian, sementara rumah mayat diarah menambah lebih banyak peti sejuk susulan peningkatan kes kematian akibat jangkitan Covid-19.
Korea Selatan ketika ini sedang bergelut dengan kes kematian yang tinggi akibat penularan varian Omicron dikalangan rakyatnya.
Penularan varian Omicron yang pantas menyebabkan keadaan tak terkawal dihadapi Korea Selatan, ia mengakibatkan sistem kesihatan lumpuh susulan kes kemasukan hospital semakin meningkat setiap hari.
Kerajaan Korea Selatan sudah membenarkan 60 pusat pembakaran mayat di seluruh negara untuk beroperasi lebih masa sejak minggu lalu dan diarah meningkatkan pembakaran mayat daripada 1,000 kepada 1,400 pembakaran setiap hari.
Bagaimanapun, langkah tersebut masih belum dapat mengawal kepadatan mayat mangsa Covid-19 yang menunggu untuk dibakar di bandar metropolitan, Seoul.
Seoul sebuah bandar yang padat dengan penduduk, ia dihuni separuh daripada 52 juta penduduk Korea Selatan dan merupakan pusat penularan Covid-19.
Susulan keadaan pusat pembakaran mayat yang sesak, ia menyebabkan wakil keluarga mangsa Covid-19 yang mahu menguruskan pengebumian ahli keluarga perlu menunggu lebih lama untuk membakar mayat.
Untuk rekod, terdapat 1,136 rumah mayat seluruh Korea Selatan dan ia hanya mampu menempatkan kira-kira 8,700 mayat.
Korea Selatan melaporkan 384 kematian baharu akibat Covid-19 pada Selasa, selama enam hari berturut-turut lebih 300 kematian direkodkan.
Sementara itu, bilangan pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan serius atau kritikal adalah sebanyak 1,104 orang dengan hampir 70% daripadanya sedang berada dalam unit rawatan rapi (ICU).