Korban puting beliung di AS meningkat 74, ramai masih hilang

Gabenor Wilayah Kentucky di Amerika Syarikat (AS), Andy Beshear mengesahkan jumlah kematian akibat puting beliung hujung minggu lalu sehingga kini sudah mencecah 74 orang, tetapi ramai yang masih hilang.

“Angka korban akibat bencana itu dijangka akan terus meningkat,” jelasnya dalam sidang akhbar, mengemas kini angka awal 64 korban selepas empat puting beliung melanda wilayah itu dari malam Jumaat hingga Sabtu lalu.

Manakala, hampir 109 penduduk lagi masih belum dijumpai sehingga petang semalam dan kebanyakan mangsa yang terlibat dalam bencana itu berumur antara lima hingga 86 tahun.

“Tidak mustahil lagi akan lebih banyak korban ditemui, ianya pasti akan melebihi dari 70 korban, bahkan mungkin lepasi sehingga 80 korban,” jelasnya.

Esok, Presiden AS, Joe Biden akan memberikan taklimat ribut di Ft. Campbell serta mengadakan sesi lawatan bagi meninjau keadaan semasa di bandar Mayfield dan Dawson Springs akibat kerosakan puting beliung yang membawa maut itu.

Puting beliung yang melanda minggu lalu turut melanda wilayah lain termasuk Illinois, Mississippi, Missouri, Tennessee dan Arkansas.

Datuk Bandar, Kathy O’Nan memaklumkan wilayah Mayfield merupakan kawasan yang teruk dilanda bencana itu, di mana ianya meninggalkan kesan seperti timbunan ‘batang mancis’.

Katanya, beribu-ribu penduduk di wilayah tersebut mengalami masalah kekurangan tempat tinggal, bekalan air dan eletrik.

Tornado yang berlaku di Kentucky dilaporkan memecah rekod heretan terpanjang yang dicipta pada 18 Mac 1925 di Ellington, Missouri.

Pusaran dan heretan di Ellington itu kekal di atas tanah selama tiga jam setengah, bergerak merentasi tiga negeri dan dua sungai utama sepanjang 219 batu.

Ia adalah laluan berterusan terpanjang bagi mana-mana rekod puting beliung dalam sejarah, menurut Guinness Book of World Records.

Tetapi gelarannya hilang pada malam Jumaat lalu, apabila puting beliung baharu mendarat di timur laut Arkansas dan kekal melakukan heretan di atas tanah sepanjang 223 batu sebelum kembali ke udara di daerah Breckinridge, Kentucky. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR