Kiraan tidak rasmi: Anak Marcos menang besar Pilihan Raya Filipina

May 10, 2022 · Dunia

Dengan lebih 90 peratus undi telah dikira, Marcos Jnr kini memperoleh hampir 30 juta undi daripada 41 juta atau lebih dua kali ganda undian yang dimiliki pesaingnya Leni Robredo bagi pilihan raya Presiden Filipina.

Kemenangan anak lelaki diktator Ferdinand Marcos yang berusia 64 tahun itu dan lebih dikenali sebagai ‘Bongbong’ akan menandakan perubahan dramatik dalam masa depan keluarganya yang sinonim dengan kleptokrasi selama beberapa dekad.

Kejayaannya anak kedua Marcos itu menyusul gangguan teknikal dan laporan keganasan yang mencemari pilihan raya Presiden Filipina, lapor media tempatan.

Mendiang Marcos digulingkan oleh revolusi “kuasa rakyat” pada 1986 setelah selama dua dekad memerintah di mana dia dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia yang teruk dan merompak lebih AS$10 bilion.

Marcos Jnr, bagaimanapun, telah mendapat manfaat daripada usaha keluarganya baru-baru ini untuk mengubah imej mereka, dan apa yang disifatkan oleh beberapa pemerhati sebagai kempen menyalurkan maklumat palsu bertujuan mengelirukan, terutama propaganda yang dikeluarkan media sosial.

Menyampaikan ucapan pada lewat malam tadi dari ibu pejabat kempennya di Manila, Marcos Jnr yang letih tetapi berseri-seri mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang berkorban menjalankan kerja dan kempen selama berbulan-bulan.

Bagaimanapun beliau tidak menuntut kemenangan, sambil memberi amaran bahawa “kiraan belum selesai”.

“Mari kita tunggu sehingga ia sangat jelas, sehingga kiraan mencapai 100 peratus, barulah kita boleh meraikannya,” katanya.

Robredo pula menggesa penyokong untuk “mendengar” suara rakyat. Peguam hak asasi manusia dan pakar ekonomi berusia 57 tahun itu berkata beliau tahu ramai penyokongnya kecewa dan tidak dapat menerima angka yang keluar daripada kiraan tidak rasmi itu.

“Saya juga sedar bahawa kekecewaan ini boleh didorong oleh laporan penyelewengan dalam pilihan raya,” katanya, sambil menambah bahawa ramai pengundi masih menunggu untuk membuang undi selepas mesin pengiraan undi tidak berfungsi di banyak kawasan.

“Saya tahu kita cintakan negara, tetapi cinta ini tidak boleh menjadi punca perselisihan lagi. Walaupun beberapa undi masih belum dikira dan masih terdapat persoalan dalam pilihan raya ini yang perlu ditangani, suara rakyat semakin jelas,” katanya.

Empat kematian dilaporkan dalam siri keganasan pilihan raya itu di Binidayan dan Malabang di wilayah Lanao del Sur. Keganasan semasa pilihan raya Filipina biasanya berkaitan dengan persaingan sengit antara parti politik tempatan dan pengikut mereka.

Kira-kira 67 juta pengundi, termasuk 1.6 juta rakyat Filipina di luar negara, telah mendaftar untuk mengundi. Pengundian itu melibatkan pemilihan 18,180 pegawai, termasuk naib presiden, Senator, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan tempatan, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec).

Dalam perlumbaan jawatan naib presiden, pasangan Marcos Jnr, Sara Duterte, anak perempuan Presiden Rodrigo Duterte, juga mendahului lapan pesaing. Pasangan Robredo Francis “Kiko” Pangilinan adalah saingan terdekat Duterte, menurut pengiraan tidak rasmi.

Comelec turut menerima kritikan daripada pemantau bebas pada malam Isnin, berikutan laporan kerosakan mesin pengiraan undi. Agensi itu diselar kerana enggan melanjutkan tempoh mengundi di tempat yang masih mempunyai barisan pengundi selepas pusat mengundi ditutup.

Kumpulan pemantau tinjauan pendapat KontraDaya (Melawan Penipuan) berkata ia “mengutuk” penipuan pilihan raya di wilayah yang mempunyai pengundi teramai – Tagalog Selatan, dengan sembilan juta pengundi berdaftar.

“Semasa tempoh pengundian, wilayah Tagalog Selatan melaporkan beberapa kes anomali pilihan raya; senarai pemilih yang tidak tepat, proses pengundian yang perlahan, keganasan pilihan raya, pembelian undi dan kes penipuan pilihan raya yang lain,” kata KontraDaya.

Pergerakan Kebangsaan Rakyat untuk Pilihan Raya Bebas mendakwa menerima banyak laporan mengenai sukarelawannya dan orang ramai dilarang memasuki pusat mengundi.

Pesuruhjaya Comelec George Garcia memberitahu pemberita tempatan bahawa “masalah yang dilaporkan kepada media adalah kes terpencil” dan tidak akan menjejaskan integriti pilihan raya.

Pengundian semalam diawasi dengan teliti, bukan hanya disebabkan faktor Marcos Jnr, tetapi juga di tengah-tengah minat yang semakin meningkat terhadap masa depan penjajaran strategik Filipina tatkala persaingan Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat.

Pemerhati sebelum ini berkata Marcos Jnr akan mencontohi pendirian berkompromi Duterte terhadap China – dilihat oleh pengkritiknya sebagai dasar mentaati – manakala saingannya Robredo dilihat memihak kepada pendekatan yang lebih tegas terhadap kuasa besar Asia itu.

Hubungan China dan Filipina sejak beberapa tahun kebelakangan ini terjejas oleh tindakan Beijing di Laut China Selatan yang dipertikaikan, dengan Manila berkata Beijing menjadi lebih kurang ajar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Duterte, yang terkenal dengan pandangan tegasnya yang anti-Barat, telah berulang kali mencadangkan untuk mengukuhkan hubungan dengan Beijing walaupun terdapat penentangan berhubung pertikaian laut.

China tidak mengiktiraf keputusan tribunal timbang tara antarabangsa di The Hague, pada 2016 yang menolak tuntutan “sembilan garis putus” Beijing di perairan dan menganugerahkan Filipina kemenangan penting. – Agensi

Berita berkaitan
MT UMNO boleh singkir Presiden tetapi mustahil untuk dilaksanakan: Noh
March 15, 2023· Politik
Filipina digegar gempa bumi magnitud 6
March 7, 2023· Dunia
ROS luluskan usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi, kata Zahid
March 4, 2023· Politik
Ketua Bahagian Tangga Batu janji pertahan Zahid jika menang pemilihan MT UMNO
February 16, 2023· Politik
Popular
Bintang badminton Indonesia maut nahas jalan raya
March 21, 2023
Wanita tak perlu ada mahram untuk umrah, haji
October 12, 2022
Gempa bumi kuat goncang Afghanistan, Pakistan, utara India
March 22, 2023
Kes 1MDB: Mahkamah lucut hak AS$35.1 juta terhadap Roger Ng
March 25, 2023
Lagi Dunia terkini
Kes 1MDB: Mahkamah lucut hak AS$35.1 juta terhadap Roger Ng
March 25, 2023 · Dunia
Asteroid hampir sebesar padang bola lintasi bumi esok: NASA
March 24, 2023 · Dunia
Gempa bumi kuat goncang Afghanistan, Pakistan, utara India
March 22, 2023 · Dunia
Arab Saudi puasa Khamis
March 22, 2023 · Dunia
PRU Thailand 14 Mei, anak gadis Thaksin mahu rebut kerusi PM
March 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Laporan polis dakwa Anwar bohong untuk lindungi Guan Eng, aniayai Muhyiddin
March 24, 2023
[VIDEO] Laporan polis premis mahu anjur pesta kepondanan, LGBT
March 22, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok