Khidmat kereta api mewah Vietnam disambung, kes Covid tertinggi di ASEAN

Vietage, perkhidmatan gerabak kereta api pelancongan mewah, akan dibuka semula kepada pelancong mulai 1 April, tatkala penularan wabak Covid-19 masih tinggi di negara itu.

Menurut Perbadanan Perkhidmatan Kereta Api Vietnam (VNR) gerabak mewah itu akan dihubungkan dengan kereta api SE5 di Stesen Da Nang pada pagi dan kembali dengan rangkaian kereta api SE8 dari Stesen Dieu Tri di Binh Dinh pada sebelah petang hari sama, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Dilancarkan pada Julai 2020, The Vietage hanya mempunyai 12 tempat duduk, termasuk restoran, bar dan perkhidmatan urut, direka khas demi memastikan keselesaan dan privasi terbaik untuk penumpang.

Pada akhir 2021, CNN telah menamakan The Vietage sebagai satu daripada enam perkhidmatan kereta api Asia yang menawarkan pengembaraan menakjubkan.

Menurut CNN: “Bagi pengembara yang mencari pengalaman yang lebih selesa, The Vietage menawarkan sesuatu yang berbeza – dengan harga US$350 seorang untuk perjalanan sehala.”

“Pemandangannya mendamaikan: kerbau meragut di padang yang luas, perkampungan yang indah bersilih ganti dan pemandangan yang menghijau menggamit penumpang untuk merakam gambar.

“Di dalam gerabak, meja marmar, skrin rotan dan ruang peribadi membangkitkan suasana romantik dalam menempuh perjalanan bersama kereta api vintaj”.

Terdahulu pihak berkuasa kesihatan Vietnam mengesahkan seramai 263,373 pesakit baharu Covid-19 hari ini (28 Mac), termasuk 180,000 kes di Hanoi dikesan pada Ahad.

Tiga lokaliti dengan jumlah kes baharu tertinggi yang disahkan pada Isnin ialah Hanoi dengan 189,326 kes, Wilayah Bac Giang utara dengan 4,186 kes, dan Wilayah Nghe An tengah dengan 3,883 kes.

Kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan pada gelombang keempat di Vietnam kepada lebih 9.19 juta kes – tertinggi dalam kalangan 10 negara ASEAN, setelah memintas Indonesia awal bulan ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR