Ketidakpatuhan protokol kesihatan dorong lonjakan Covid-19, kata pakar

Indonesia menyaksikan lonjakan kedua pandemik Covid-19, seiring dengan usaha pemerintah republik itu melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran.

Wacana umum juga menghubungkaitkan kedua-duanya dengan menyalahkan program vaksinasi sebagai punca berlakunya lonjakan kes baharu di seluruh negara itu setiap hari.

Bagaimanapun, pakar berkaitan penyakit berjangkit itu membantah dakwaan mengatakan program vaksinasi peringkat nasional perlahan atau tidak berkesan.

Anggota sukarelawan Kumpulan Relawan Covid-19, Dr Muhammad Fajri Addai, berkata lonjakan kes Covid-19 yang melebihi 54,000 pada Rabu disebabkan oleh faktor lain.

“Lonjakan mendadak kes Covid-19 bukan kerana program vaksinasi perlahan atau tidak berkesan, tetapi disebabkan tingkah laku manusia,” tulis beliau dalam akaun Instagramnya yang dipetik Bisnis.com.

Beliau menegaskan vaksin itu sendiri tidak menjadikan penerimanya kebal terhadap virus Covid-19.

“Langkah orang ramai mempraktikkan protokol kesihatan yang tepat, adalah sama penting dengan usaha pemerintah untuk mengesan, menguji dan menangani kes-kes Covid-19.

“Vaksin masih dapat mencegah peningkatan kes lain jika ruang lingkup vaksinasi tetap rendah seperti sekarang. Untuk mengawal kembali pandemik, vaksinasi perlu dipercepat.

“Serentak itu juga orang ramai mesti menerapkan protokol kesihatan yang lebih ketat, sementara pemerintah mempromosikan 3T yang lebih baik iaitu pengujian, penelusuran, dan perawatan,” katanya.

Republik Indonesia semalam melaporkan 54,517 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam dan 991 kematian menjadikan keseluruhan kes di negara ke empat paling ramai penduduk di dunia itu lebih 2.6 juta, manakala lebih 69,000 rakyatnya meninggal dunia.

Pada awalnya lonjakan itu dikatakan hasil pergerakan orang ramai pada akhir Ramadan lalu – ketika ramai yang mengabaikan larangan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman, ketiadaan dasar kesihatan yang kohesif ditambah dengan amaran yang mengelirukan, penswastaan ujian dan penelusuran yang tidak berkesan

Walaupun perjalanan dihadkan di lapangan terbang domestik dan terminal feri mulai 22 April hingga 24 Mei, pemerintah menganggarkan antara lima hingga enam juta orang masih bergerak antara bandar di dua pulau paling padat penduduk di Indonesia, Jawa dan Sumatera, selama tempoh cuti Aidilfitri.

Pakar kesihatan turut menyalahkan pemerintah kerana tidak melaksanakan sekatan lebih ketat secara meluas, termasuk mengenakan perintah darurat sebelum lonjakan berlaku.

Namun, negara itu kemudian melaksanakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ di Pulau Jawa dan Bali, bermula 3 Julai hingga 20 Julai ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR