
Anggota Briged Al-Qassam, sayap tentera Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bergerak di dalam terowong yang dibina di sekitar Semenanjung Gaza. - Gambar Reuters
Rejim Zionis Israel awal hari ini menyerang kedudukan Briged Al-Qassam, sayap tentera Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di selatan Semenanjung Gaza, namun tiada kerosakan teruk atau sebarang kecederaan dilaporkan.
Rejim pengganas itu bertindak demikian setelah roket ditembak dari Semenanjung Gaza ke arah sebuah bandar di Israel, bersempadan dengan Gaza, semalam.
Hamas sebelum ini menafikan menembak roket ke arah Israel, namun pergerakan itu dipertanggungjawabkan kerana Semenanjung Gaza berada di bawah pentadbiran mereka – berasingan daripada Tebing Barat yang ditadbir Gerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah).
Serangan roket itu dipercayai dilakukan Pertubuhan Jihad Islam – salah satu kumpulan pejuang Palestin yang berpangkalan di Gaza susulan tindakan ganas rejim Zionis menceroboh Masjid Al-Aqsa dan menangkap rakyat Palestin di dalam masjid ketiga suci Islam itu Jumaat lalu.
Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur terletak di Tebing Barat.
Susulan perkembangan terbaharu itu, sumber Palestin dipetik sebagai berkata peningkatan ketegangan antara Hamas dan rejim Israel mungkin tercetus semula.
Keadaan juga semakin meruncing di utara Tebing Barat dan Baitulmaqdis sejak awal Ramadan selepas serangan dilakukan warga Arab di beberapa bandar Israel yang menyebabkan kematian dan kecederaan.
Hamas memberi amaran kepada rejim Israel bahawa pencerobohan berterusannya di Masjid Al-Aqsa boleh membawa kepada peningkatan penentangan oleh beberapa kumpulan pejuang.

Roket yang dilancarkan pejuang Islam Palestin dari Semenanjung Gaza ke arah bandar di Israel, kelmarin, membalas tindakan rejim Zionis yang menceroboh Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. – Gambar Twitter
Setiausaha Agung Jihad Islam Ziad Al-Nakhala yang tinggal di Beirut dan disokong oleh Iran, mengancam untuk berhadapan dengan Israel jika serangan tidak berhenti.
“Ancaman rejim Israel untuk menyekat kemudahan kepada Gaza tidak boleh membuatkan kita berdiam diri mengenai apa yang berlaku di Baitulmaqdis dan Tebing Barat,” kata Al-Nakhala.
Sementara itu, jurucakap Hamas di Gaza Hazem Qassem berkata konfrontasi, yang merupakan reaksi semula jadi rakyat Palestin dan penentangan mereka terhadap penjajahan, berterusan dalam semua paksi konflik di Baitulmaqdis, Gaza, Tebing Barat dan wilayah yang diduduki secara haram oleh rejim Israel.
“Pengeboman Zionis ke atas beberapa tapak kosong adalah percubaan yang gagal untuk menghalang rakyat Palestin daripada mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa,” katanya.
Laman sesawang berita tempatan memetik sumber Jihad Islam sebagai memberi tempoh terakhir sehingga petang Rabu kepada rejim Zionis untuk menghentikan pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa, sebelum kumpulan itu kembali melakukan konfrontasi dari Gaza.
Tahun lalu, pertempuran meletus pada penghujung Ramadan berikutan perarakan bendera oleh persatuan penduduk Yahudi Israel di Baitulmaqdis.
Tahun ini, pihak berkuasa Israel menolak permintaan untuk perhimpunan serupa pada Rabu ini kerana bimbang keganasan akan meningkat, menurut akhbar Israel Yedioth Ahronoth.
Perarakan itu dianjurkan untuk meraikan pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel selepas pencerobohan dan pendudukan haram pada 1967.
Mesir telah menjadi pengantara antara Hamas dan Jihad Islam di satu pihak dan Israel di pihak yang lain, bagi mengelak kemungkinan peningkatan ancaman di Semenanjung Gaza berikutan tindakan ganas rejim Zionis di Baitulmaqdis dan Tebing Barat.
“Usaha pengantara tertumpu kepada mencari jalan keluar dan mencegah tercetusnya perang baharu di Gaza. Kami mempunyai banyak cara untuk memberi tekanan terhadap rejim Israel,” kata Zaher Jabarin, ahli biro politik Hamas. – Agensi