Kesatuan ulama sedunia ajak umat Islam pertahan Masjid Al-Aqsa esok

Kali terakhir pendatang Yahudi menyerbu Masjid Al-Aqsa adalah pada Ramadan lalu.

Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) menggesa umat Islam, khususnya di Palestin supaya menghalang pelampau Yahudi daripada menyerbu masuk ke Haram Al Sharif di Masjid Al-Aqsa, di Baitulmaqdis Timur esok.

IUMS juga mengecam provokasi berulang kali dan serangan berterusan oleh pelampau Yahudi di Masjid Al-Aqsa,” kata Setiausaha Agung IUMS, Sheikh Ali al-Qaradaghi dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan pelampau Israel sebelum ini menggesa pendatang haram Yahudi untuk menyerbu masuk ke kompleks Al-Aqsa secara besar-besaran pada 18 Julai (esok) sempena apa yang mereka gelar ‘hari pemusnahan kuil’.

Masjid Al-Aqsa, masjid suci ketiga umat Islam, turut dikenali di kalangan penganut Yahudi sebagai ‘The Temple Mount’ yang mendakwa ianya adalah tapak bagi dua kuil mereka pada zaman purba.

Satu kumpulan dikenali Pergerakan Kedaulatan di Israel juga sedang membuat persediaan menganjurkan perarakan besar-besaran pendatang Yahudi di sekeliling tembok Bandar Lama Baitulmaqdis pada hari sama.

“Penyerang – pendatang asing yang menduduki Palestin telah bertahun-tahun menyerbu kompleks Al-Aqsa, dan terakhir adalah pada bulan Ramadan lalu,” kata al-Qaradaghi.

Sambil memuji rakyat Palestin sebagai ‘pahlawan’ kerana melindungi Masjid Al-Aqsa, beliau menekankan bahawa tindakan kumpulan pelampau itu sekali lagi akan gagal.

“Kami mendesak rakyat Palestin pada umumnya dan penduduk Baitulmaqdis serta sekitarnya untuk mengambil tindakan melindungi Al-Aqsa, esok,” katanya.

Rejim Zionis Israel menduduki Baitulmaqdis Timur di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa dalam Perang Arab-Israel pada 1967.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa mengisytiharkan pendudukan rejim Israel di wilayah Palestin sebagai haram dan tidak sah. – Agensi

POPULAR