Kes varian Omicron mula meningkat di negara-negara Eropah

Negara-negara di Eropah kini berdepan ancaman varian baharu Covid-19, susulan pengesanan individu yang telah dijangkiti virus itu sejak beberapa hari lalu, dengan Britain dan Kanada mula merekodkan kes berkaitan varian Omicron.

Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan Belanda memaklumkan mengesan puluhan penumpang dua pesawat dari Afrika Selatan yang positif Covid-19, termasuk mereka yang dijangkiti varian Omicron.

Semalam, negara itu mengesahkan lebih 13 individu dijangkiti varian berkenaan daripada 61 penumpang pesawat yang dikuarantin setelah positif Covid-19.

“Varian Omicron setakat ini sudah dikenal pasti dalam 13 ujian saringan kes positif dan siasatan masih belum selesai. Varian baharu ini mungkin ditemui dalam lebih banyak lagi sampel ujian,” kata Institut Kesihatan Awam Belanda (RIVM), dalam satu kenyataan.

Terbaharu, Kanada turut melaporkan mengesan dua kes pertama individu yang dijangkiti varian Omicron dengan kedua-duanya mempunyai sejarah perjalanan ke Nigeria.

“Kedua-dua individu terbabit kini menjalani kuarantin manakala pihak berkuasa kesihatan sedang berusaha mengesan kontrak rapat mereka,” kata pegawai Persekutuan di wilayah Ontario.

Menteri Kesihatan Kanada, Jean-Yves Duclos berkata Agensi Kesihatan Awam negara itu memaklumkan dua kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Ontario.

“Memandangkan pemantauan dan ujian berterusan, dijangkakan bahawa kes lain bagi varian ini akan ditemui di Kanada,” katanya.

Semalam, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengesahkan mengesan kes ketiga varian Omicron yang juga mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Selatan.

“Keupayaan penjujukan lanjutan membolehkan kami mencari varian dan mengambil tindakan pantas untuk mengehadkan penyebaran seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UKHSA, Jenny Harries. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR